Tabung RM50 Juta Bukan Sekadar Sumbangan, Tanda Solidariti Buat Najib
LABUAN, 22 Sept – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Mohd Rafi Alli Hassan menegaskan bahawa inisiatif melancarkan tabung sumbangan bagi membantu memenuhi bayaran denda RM50 juta yang dikenakan terhadap Datuk Seri Mohd Najib Razak bukan sekadar soal sumbangan kewangan, sebaliknya membawa makna yang lebih besar sebagai tanda penghargaan dan solidariti.
Beliau berkata, sumbangan itu dibuat secara sukarela tanpa sebarang paksaan dan terbuka kepada sesiapa sahaja yang ingin bersama-sama dalam usaha berkenaan.

Justeru katanya, tidak wajar sekiranya inisiatif tersebut dilihat daripada sudut kewangan semata-mata atau dijadikan bahan politik khususnya oleh pihak lawan untuk membuat pelbagai dakwaan negatif.
“Bagi saya, ini bukan sekadar soal sumbangan kewangan, tetapi merupakan tanda penghargaan dan solidariti daripada mereka yang menghargai jasa seorang pemimpin yang telah mencurahkan khidmatnya kepada negara,” katanya.
Mohd Rafi yang juga Ketua UMNO Bahagian Labuan berkata, pihaknya akan mengambil langkah mewujudkan tabung sumbangan di peringkat bahagian bagi membantu usaha memenuhi bayaran denda RM50 juta yang ditetapkan sebagai salah satu syarat pengampunan berkenaan.
Katanya, inisiatif itu turut mencerminkan sokongan ahli UMNO Bahagian Labuan serta sahabat-sahabat perjuangan yang ingin memberikan sumbangan mengikut kemampuan masing-masing.
“Tiada paksaan kepada sesiapa untuk menyumbang. Mereka yang ingin bersama-sama dalam usaha ini boleh memberikan sumbangan secara sukarela mengikut kemampuan masing-masing,” katanya.

Mohd Rafi berkata, UMNO Bahagian Labuan menzahirkan rasa syukur dan menyambut baik keputusan pengampunan bersyarat yang diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong.
Menurutnya, keputusan itu tentunya membawa kelegaan bukan sahaja kepada Najib dan keluarga malah juga untuk keluarga besar UMNO yang selama ini mengikuti perkembangan perkara berkenaan.
Beliau berkata, segala urusan berkaitan tabung sumbangan itu akan dilaksanakan secara telus serta mengikut peraturan dan undang-undang yang berkuat kuasa.
“Inisiatif ini merupakan tanda solidariti dan penghargaan atas segala jasa serta sumbangan Datuk Seri Najib kepada parti dan negara sepanjang tempoh perkhidmatan beliau,” katanya lagi. – UMNO Online
