Sabah Perkukuh Hubungan Pelancongan dan Budaya Dengan China
KUALA LUMPUR, 22 Sept – Sabah terus memperkukuh hubungan budaya, pelancongan dan ekonomi dengan China menerusi penyertaan dalam Program Pertukaran Budaya Sabah–China yang berlangsung di Congjiang, China.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Jafry Ariffin, mengetuai delegasi Sabah yang menyertai program berkenaan, yang turut disiarkan secara langsung menerusi stesen televisyen tempatan China.

Beliau yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah memaklumkan bahawa Delegasi Sabah menghimpunkan pemain industri pelancongan, kumpulan kebudayaan, SME Association of Sabah, Jabatan Pembangunan Perindustrian dan Penyelidikan (DIDR), Malaysian Chinese Tourism Association (MCTA) Sabah Chapter serta beberapa rakan strategik lain.
Katanya, penyertaan itu menjadi platform untuk memperkenalkan keunikan Sabah kepada masyarakat China menerusi pelbagai elemen termasuk persembahan kebudayaan, muzik, produk tempatan dan tarikan pelancongan negeri.
Program berkenaan turut dimeriahkan dengan persembahan penyanyi terkenal Malaysia, Shila Amzah, yang mengangkat muzik sebagai medium untuk merapatkan hubungan serta memperkukuh pertukaran budaya antara Sabah dan China.

“Dari Sabah ke Congjiang, budaya menyatukan, muzik mendekatkan, pelancongan menghubungkan,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.
Jelasnya, selain mengetengahkan kekayaan budaya, program itu turut membuka ruang kepada pemain industri dan usahawan Sabah untuk memperkenalkan produk serta potensi pelancongan negeri kepada pasaran China. – UMNO Online
