RISDA Santuni Rakyat Tenggara, 100 Pelajar Terima Manfaat Pendidikan

TENGGARA, 22 Sept – Usaha membantu rakyat khususnya masyarakat luar bandar terus diberi perhatian menerusi pelaksanaan tanggungjawab sosial korporat (CSR) Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) di Parlimen Tenggara.

Pengerusi RISDA yang juga Ahli Parlimen Tenggara, Manndzri Nasib berkata, inisiatif berkenaan memberi tumpuan kepada keperluan rakyat dalam bidang pendidikan serta keagamaan dan kemasyarakatan.

Menurut beliau, dalam bidang pendidikan, RISDA menaja 100 pelajar calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2026 daripada tujuh sekolah menengah di Parlimen Tenggara menerusi Program Tuisyen Pintar.

Program berkenaan memberi peluang kepada pelajar kurang berkemampuan mengikuti tuisyen secara percuma bagi mata pelajaran Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sejarah dan Matematik sebagai persediaan menghadapi SPM.

“Tanggungjawab sosial korporat (CSR) kepada masyarakat luar bandar diharapkan sentiasa memberi manfaat kepada kesejahteraan dan kebaikan kita. Terima kasih RISDA, sudi bersama kami di Parlimen Tenggara. Alhamdulillah,” katanya.

Selain pendidikan, RISDA turut menyumbang kit jenazah kepada 26 masjid atau kariah di Parlimen Tenggara bagi membantu melancarkan urusan pengurusan jenazah dalam kalangan masyarakat setempat.

Sumbangan itu disampaikan sempena Sambutan Maulidur Rasul peringkat Parlimen Tenggara dan RISDA yang berlangsung di Masjid Al-Husna, Bandar Tenggara.

Manndzri berkata, sumbangan tersebut merupakan sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat RISDA dalam membantu keperluan masyarakat, selain menyokong aktiviti keagamaan dan kemasyarakatan di kawasan berkenaan.

“Kit ini sangat diperlukan untuk memastikan pengurusan jenazah dapat berjalan lancar dan kita akan meneruskan sumbangan ini pada masa akan datang,” katanya.

Beliau berkata, pendekatan sedemikian mencerminkan usaha memastikan manfaat CSR RISDA dapat dirasai secara langsung oleh rakyat, khususnya komuniti luar bandar di Parlimen Tenggara. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO