Naik Taraf ATIGA Perlu Beri Manfaat Nyata Kepada Perniagaan – Johari

KUALA LUMPUR, 22 Sept – Usaha menaik taraf Perjanjian Perdagangan Barangan ASEAN (ATIGA) perlu memberi manfaat nyata kepada perniagaan, tegas Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

Menerusi hantaran di laman Facebooknya, beliau yang juga Naib Presiden UMNO berkata, penaiktarafan tersebut perlu dilakukan dengan matlamat untuk menjadikan perdagangan sesama negara anggota lebih mudah.

“Saya menyertai Mesyuarat Majlis Kawasan Perdagangan Bebas ASEAN (AFTA) Ke-40 sempena Mesyuarat Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN Ke-58, dengan tumpuan kepada usaha menaik taraf ATIGA.

“Matlamatnya jelas… menjadikan perdagangan sesama negara anggota lebih mudah, pantas dan berdaya saing melalui ASEAN Single Window serta pendigitalan perdagangan,” katanya.

Tambahnya, penaiktarafan ATIGA juga perlu memudahkan prosedur kastam di samping meningkatkan ketelusan peraturan dalam menangani halangan bukan tarif.

“Perdagangan intra-ASEAN mencecah kira-kira USD 900 bilion pada 2025, dengan perdagangan Malaysia bersama negara ASEAN sekitar USD 180 bilion. Pada masa yang sama, defisit perdagangan ASEAN dengan China sebanyak USD 300 bilion memperlihatkan keperluan untuk memperkukuh perdagangan dalam rantau ini.

“Selain tarif, penaiktarafan ATIGA perlu memudahkan prosedur kastam, meningkatkan ketelusan peraturan dan menangani halangan bukan tarif yang menambah kos serta melambatkan urusan perniagaan.

“Bagi saya, perjanjian di atas kertas hanya bermakna apabila manfaatnya benar-benar dirasai oleh perniagaan. Ia boleh diukur dalam bentuk pelepasan barangan di sempadan yang lebih pantas, kos pematuhan lebih rendah dan rantaian bekalan yang lebih terjamin. Inilah ukuran kejayaan ATIGA dalam membina ASEAN yang lebih bersepadu dan berdaya tahan,” katanya lagi. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO