Kerjasama Kerajaan, Universiti, Industri Penting Atasi Jurang Pengkomersialan Penyelidikan

KUALA LUMPUR, 22 Sept – Malaysia perlu memperkukuh kerjasama antara kerajaan, universiti, industri dan pelabur swasta bagi merapatkan jurang ‘missing middle’ dalam pengkomersialan penyelidikan, sekali gus membolehkan teknologi tempatan yang berpotensi berkembang menjadi perusahaan bertaraf global.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata meskipun Malaysia telah membina asas kukuh dalam rantaian bekalan global, kebanyakan teknologi dibangunkan dalam negara masih berdepan cabaran mendapatkan rakan industri atau modal dalam fasa antara pengesahan penyelidikan dan pengkomersialan.

“Masalahnya tidak semestinya terletak pada kualiti penyelidikan. Ia lebih kerap berpunca daripada ketiadaan rakan kongsi yang tepat, modal atau laluan untuk dikembangkan ke skala lebih besar.

“Di sinilah kerajaan, universiti, industri dan pelabur perlu bekerjasama dengan lebih erat,” katanya ketika berucap merasmikan University Research and Innovation Investment Summit 2026 (URIIS 2026) di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC) di sini hari ini.

Hadir sama Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dan Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata Malaysia perlu beralih daripada kebergantungan tinggi terhadap geran awam kepada ekosistem modal lebih luas melibatkan pelabur swasta dan rakan industri, bagi mengembangkan idea berpotensi menjadi produk berdaya pasaran.

Beliau juga menyarankan agar penyelidikan lebih tertumpu kepada cabaran negara seperti keselamatan makanan, penjagaan kesihatan, tenaga dan produktiviti, selain melihat kawasan luar bandar termasuk kawasan Parlimennya di Bagan Datuk sebagai lokasi
berpotensi untuk menguji inovasi seperti penjagaan kesihatan digital, tenaga boleh baharu dan logistik pintar.

Ahmad Zahid berkata berdasarkan Indeks Inovasi Global 2025, Malaysia menduduki tangga ke-34 daripada 139 ekonomi, namun pencapaian negara dari segi input inovasi masih lebih baik berbanding keupayaan menterjemahkan hasil penyelidikan kepada pulangan ekonomi.

Beliau turut menekankan keperluan untuk tidak sekadar melahirkan bakat, sebaliknya membangunkan perusahaan teknologi tempatan, selaras dengan sasaran negara menarik pelaburan RM500 bilion serta melahirkan 60,000 jurutera tempatan berkemahiran tinggi menjelang 2030.

“Kita bukan sahaja perlu berbangga apabila sesuatu produk itu Buatan Malaysia, tetapi perlu menyasarkan lebih banyak teknologi Ciptaan Malaysia, di samping meningkatkan pemilikan harta intelek dan perusahaan Malaysia,” katanya.

Ahmad Zahid turut mahu Kementerian Pendidikan Tinggi, kementerian lain, universiti, rakan industri dan pelabur memastikan teknologi yang diketengahkan menerusi URIS 2026 disusuli dengan tindakan bagi merealisasikan aspirasi negara menuju 2030 berteraskan tiga tonggak, iaitu “Cipta, Komersial dan Miliki”. – BERNAMA

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO