‘Yang Percaya, Silakan Menyumbang’

KUALA LUMPUR, 21 Sept – “Yang percaya, silakan menyumbang. Yang tidak bersetuju, tidak perlu.”

Itu penegasan Ketua UMNO Bukit Bintang, Datuk Tengku Azman Tengku Zainol Abidin, yang mempertahankan usaha parti mengumpul sumbangan RM50 juta bagi tujuan pembayaran denda Datuk Seri Najib Tun Razak.

Menurut Tengku Azman, kutipan berkenaan dibuat secara sukarela dan tidak seharusnya dipersoalkan kerana tiada mana-mana pihak dipaksa untuk menyumbang.

“Kalau turun ke jalan untuk menyatakan solidariti dianggap sebagai satu hak, mengapa sumbangan secara sukarela pula dipersoalkan? Kami tidak memaksa sesiapa. Yang percaya, silakan menyumbang. Yang tidak bersetuju, tidak perlu. Itu hak masing-masing,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa RM50 juta yang dikumpulkan itu bukan untuk memperkayakan mana-mana individu.

“Lagipun, RM50 juta yang dikumpulkan itu bukan untuk mengayakan mana-mana individu. Ia akan menjadi hasil kepada kerajaan dan manfaatnya kembali kepada negara. Jadi, apa sebenarnya yang perlu dipersoalkan?”

Beliau berkata demikian membidas Naib Ketua Wanita PKR, Loh Ker Chian yang mendakwa bahawa tabung Solidariti Najib adalah ‘jarum halus’ UMNO halalkan rasuah.

Dalam hantaran terdahulu, Tengku Azman menegaskan bahawa, isu kutipan sumbangan itu perlu dilihat secara berasingan daripada keputusan mahkamah yang mensabitkan Najib.

Katanya, keputusan mahkamah perlu dihormati, namun sabitan dan mekanisme pengampunan adalah dua perkara berbeza.

Beliau turut mempersoalkan pandangan bahawa seseorang yang telah dijatuhi hukuman tidak lagi layak dipertimbangkan untuk pengampunan.

“Adakah seseorang yang telah dijatuhi hukuman terus hilang hak untuk dipertimbangkan bagi pengampunan? Kalau begitu, untuk siapa sebenarnya kuasa pengampunan diwujudkan?” soalnya.

Menurutnya, Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan kuasa pengampunan dan mekanisme itu telah lama menjadi sebahagian daripada sistem Perlembagaan negara.

Tengku Azman turut merujuk kepada pengampunan penuh yang diterima Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 2018, namun menegaskan beliau tidak menyamakan kes kedua-dua tokoh berkenaan.

“Saya tidak mengatakan kes Anwar sama dengan kes Najib. Tidak. Kes dan latar belakangnya berbeza,” katanya.

Mengulas pengampunan bersyarat yang diberikan kepada Najib, beliau berkata keputusan itu tidak boleh digambarkan seolah-olah bekas Perdana Menteri itu telah terlepas daripada undang-undang.

“Sabitan masih ada. Hukuman masih ada. Syarat masih ada. Yang berubah ialah cara baki hukuman itu dilaksanakan melalui pengampunan bersyarat,” katanya.

Beliau berkata masyarakat mempunyai hak untuk tidak bersetuju dengan keputusan berkenaan, namun pada masa sama perlu mengiktiraf bahawa kuasa pengampunan merupakan sebahagian daripada kerangka Perlembagaan negara.

Menurutnya, persoalan yang lebih besar bukan hanya mengapa Najib diberikan pengampunan, tetapi atas dasar apa seseorang yang telah dijatuhi hukuman dikatakan tidak layak untuk dipertimbangkan bagi pengampunan.

Dalam hal ini, beliau menggesa semua pihak supaya menghormati keputusan mahkamah, Perlembagaan dan institusi Diraja, selain menghormati hak rakyat untuk mempunyai pandangan berbeza.

“Jangan kerana kita tidak bersetuju dengan siapa yang menerima pengampunan, kita lupa bahawa kuasa pengampunan itu sendiri telah lama menjadi sebahagian daripada sistem Perlembagaan negara kita,” katanya lagi. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO