Dap Perlu Buktikan Prinsip, Bukan Sekadar Retorik Politik – Razlan

KUALA LUMPUR, 21 Sept – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Mohd Razlan Rafii, mempersoalkan pendirian Dap terhadap semangat Perlembagaan Persekutuan susulan tindakan protes yang dikaitkan dengan keputusan membabitkan pemimpin parti itu dalam kerajaan.

Ketua UMNO Bahagian Seputeh itu berkata, Dap yang selama ini mendakwa menghormati dan menerima Perlembagaan Persekutuan perlu membuktikan pendirian berkenaan melalui tindakan, bukan sekadar kenyataan politik.

Menurutnya, tindakan memprotes sesuatu keputusan yang tidak memenuhi kehendak politik parti menimbulkan persoalan sama ada prinsip terhadap Perlembagaan dihormati secara menyeluruh atau hanya apabila sesuatu keputusan selari dengan kepentingan politik mereka.

“Kedudukan dan peranan Raja-Raja Melayu telah termaktub dengan jelas dalam Perlembagaan Persekutuan. Institusi ini bukan bahan permainan politik dan tidak seharusnya dijadikan medan pertikaian semata-mata kerana sesuatu keputusan tidak memenuhi kehendak sesebuah parti,” katanya dalam kenyataan.

Razlan turut membangkitkan persoalan mengenai cara sesetengah kenyataan dan tindakan politik berkaitan titah atau keputusan yang melibatkan institusi Raja-Raja Melayu disambut.

Katanya, tindakan sedemikian berpotensi mencetuskan pertembungan politik selain menimbulkan persoalan mengenai penghormatan terhadap institusi berkenaan.

Dalam pada itu, Razlan turut mengemukakan persoalan mengenai kemungkinan yang berlaku sekiranya sesebuah parti memperoleh majoriti dua pertiga di Parlimen pada masa hadapan.

Beliau berkata, kuasa majoriti tersebut tidak seharusnya digunakan untuk mengubah asas-asas Perlembagaan mengikut acuan atau kepentingan politik sesebuah parti.

Razlan turut mencabar Dap supaya mengambil pendirian yang konsisten sekiranya benar-benar berpegang kepada prinsip yang didakwa diperjuangkan.

“Jika Dap benar-benar mahu berpegang kepada prinsip dan tidak mahu terus mengelirukan rakyat, mereka mempunyai pilihan untuk meninggalkan kerajaan. Namun, pada masa yang sama, jawatan dalam kerajaan masih mahu dipertahankan walaupun keputusan tertentu terus diprotes apabila tidak menepati kehendak mereka,” katanya.

Beliau juga mendakwa terdapat pemimpin Dap yang pernah berjanji ketika kempen pilihan raya untuk melepaskan jawatan sekiranya perkara yang diperjuangkan tidak ditunaikan.

Razlan mempersoalkan sama ada janji berkenaan benar-benar mencerminkan prinsip politik atau sekadar digunakan untuk mendapatkan sokongan ketika kempen.

“Jangan bercakap soal prinsip jika jawatan masih mahu dipertahankan. Jangan mendakwa menjunjung Perlembagaan jika semangatnya hanya dihormati apabila sesuatu keputusan menyebelahi kepentingan sendiri,” katanya.

Razlan menegaskan rakyat mempunyai hak untuk menilai sendiri pendirian dan tindakan semua parti politik, termasuk dalam isu berkaitan Perlembagaan Persekutuan serta institusi Raja-Raja Melayu.

Beliau pada masa sama menyeru semua pihak supaya menghormati Perlembagaan Persekutuan dan tidak menjadikan asas negara sebagai gelanggang percaturan politik. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO