Agenda Malaysia Biru Perkukuh Tawaran BN Kepada Rakyat
KUALA LUMPUR, 21 Sept – Ketua UMNO Bahagian Shah Alam, Datuk Azhari Shaari berpandangan Agenda Malaysia Biru memperlihatkan persediaan Barisan Nasional (BN) sebagai persediaan sekirnya diberi mandat untuk menerajui pentadbiran negara.
Beliau berkata ini kerana ia merangkumi pelbagai perkara berkaitan kepentingan rakyat dan negara termasuk aspek ekonomi, masyarakat serta kebajikan.
“Alhamdulillah, pada ucapan dasar Datuk Seri Presiden telah membawa satu mesej jelas bahawa BN telah pun bersiap dari segi keseluruhannya sekiranya diberi mandat penuh untuk mentadbir kerajaan Malaysia.
“Agenda Malaysia Biru membuktikan BN sebuah kerajaan yang berpengalaman, mempunyai trek rekod yang hebat sejak merdeka,” katanya kepada UMNO Online.
Menurut Azhari, pendekatan yang dibawa menerusi Malaysia Biru juga selari dengan perjuangan UMNO/BN sejak sekian lama dalam membawa pembangunan serta kebajikan kepada rakyat.
Katanya, pengalaman dan rekod pentadbiran BN sebelum ini menjadi asas penting untuk gagasan tersebut diteruskan dengan pendekatan yang lebih tersusun.
“Perjuangan ini secara dasarnya adalah perjuangan UMNO/BN sejak dahulu. Apa yang disampaikan oleh Presiden sangat jelas bahawa BN bukan bercakap atas dasar retorik.
“Kita bercakap berdasarkan realiti dan rekod yang telah kita buktikan sebelum ini dan insya-Allah akan kita teruskan
“Tidak ada dalam konvensyen parti parti lain yang mempunyai wawasan jelas dan sangat meyakinkan seperti dilakukan BN, memberi manfaat cukup bagus kepada rakyat,” ujar beliau.
Terdahulu, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 menggariskan lapan ikhtiar utama menerusi Agenda Malaysia Biru sebagai tawaran baharu BN kepada rakyat.
Lapan ikhtiar tersebut merangkumi Malaysia sebagai Negara Pencipta, Negara Berkemahiran, Negara Pemilik, Negara Sejahtera, Negara Berdaya Tahan, Negara Peduli, Negara Beramanah dan Negara Berdaulat. – UMNO Online
