WRUR: Lebih RM7.8 juta Diperuntuk Baik Pulih, Bina Rumah Baharu – Ab Rauf

ALOR GAJAH, 20 Sept -Kerajaan negeri menerusi Lembaga Perumahan Melaka (LPM) membaik pulih sebanyak 136 rumah dan membina 77 rumah baharu melibatkan peruntukan lebih RM7.8 juta, sepanjang pelaksanaan program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) di kesemua 28 Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka sejak penganjurannya dua tahun lepas.

Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata dalam tempoh itu juga lebih 84 projek dilaksanakan dengan nilai bantuan serta peruntukan keseluruhan mencecah RM4.2 juta di bawah peruntukan Pejabat Daerah dan Tanah Melaka.

Selain itu, beliau berkata sepanjang pelaksanaan WRUR di 28 DUN, sebanyak 2,300 penerima disantuni secara langsung menerusi bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) melibatkan nilai keseluruhan RM345,000.

“Kita juga melaksanakan sebanyak 1,981 program serta aktiviti dan hampir 100,000 kehadiran rakyat direkodkan sepanjang pelaksanaan program WRUR di kesemua DUN di Melaka.

“Dalam tempoh itu juga, 5,170 aduan rakyat diterima dan daripada jumlah itu, 3,789 aduan atau 73.29 peratus diselesaikan manakala baki aduan tersebut akan diberi perhatian dan diselesaikan dengan segera,” katanya kepada pemberita di Tanjung Bidara di sini malam tadi.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Penutupan Program WRUR Negeri Melaka dan Pesta Pantai Tanjung Bidara serta Perasmian Festival Seni Selat dan Sungai Melaka 2026.

Ab Rauf yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bidara berkata sepanjang tiga tahun menerajui pentadbiran Kerajaan Negeri Melaka, sebanyak 212 projek pembangunan bernilai keseluruhan RM41.16 juta dilaksanakan di DUN berkenaan.

Beliau berkata ia termasuk pelaksanaan kerja pembaikan dan naik taraf bangunan, infrastruktur serta sistem kejuruteraan di Klinik Kesihatan Masjid Tanah bernilai hampir RM800,000, pelaksanaan projek tangki sedutan berserta pam ke tangki Tanjung Bidara sedia ada bernilai RM1.3 juta dan projek pengawalan hakisan pantai di Pengkalan Balak yang melibatkan peruntukan berjumlah RM21.5 juta.

Selain itu, terdapat beberapa projek sedang dilaksanakan termasuk Dewan Terbuka Pasir Gembur bernilai RM500,000, tambahan bilik darjah menggunakan kaedah Sistem Binaan Berindustri (IBS), iaitu di Sekolah Kebangsaan (SK) Pengkalan Balak berjumlah RM800,000 serta menaik taraf bumbung Masjid Al-Jawahir, Pengkalan Balak bernilai RM1.3 juta.

“Daripada aspek kesihatan, pendidikan, keagamaan, bekalan air, kemudahan masyarakat serta perlindungan kawasan pesisir pantai, kita sempurnakan satu demi satu mengikut keutamaan rakyat.

“Bagi saya, pembangunan fizikal sahaja tidak memadai kalau kebajikan rakyat tidak kita pelihara dan justeru itu, sejumlah RM11.94 juta disalurkan kepada 2,512 penerima sebagai tanggungjawab saya meringankan beban rakyat Tanjung Bidara,” katanya. – BERNAMA

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO