Jangan Laungkan ‘Daulat Tuanku’ Hanya Ketika Keputusan Menyebelahi Parti Sendiri – Syed Mohd Johan
KUALA LUMPUR, 20 Sept – Pengarah Komunikasi Strategik UMNO Negeri Kedah, Syed Mohd Johan Rizal Syed Unan Mashri berpandangan keputusan Setiausaha Agung Dap, Anthony Loke menawarkan peletakan jawatan sebagai Menteri Pengangkutan hanya menambah kekusutan politik negara di bawah pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata rakyat sudah letih dengan drama politik melampau ketika mereka sedang berdepan tekanan kos sara hidup akibat dasar dan polisi kerajaan yang disifatkannya tidak bijak.

“Keputusan Anthony Loke melepaskan jawatan menteri menambah lagi kekusutan politik negara di bawah pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Orang ramai sudah letih dengan drama politik melampau di waktu mereka sedang menghadapi tekanan kos hidup akibat dasar dan polisi yang tidak bijak kerajaan sekarang,” katanya.
Beliau yang juga Naib Ketua UMNO Bahagian Alor Setar berkata, langkah terbaik pada ketika ini adalah membubarkan parlimen untuk memberi peluang kepada rakyat menentukan kerajaan yang mereka mahukan.
“Tindakan terbaik PMX sekarang adalah bubarkan Parlimen, biar pengundi menentukan kerajaan yang mereka mahukan.
“Biar rakyat tentukan sama ada mereka dapat menerima dasar dan polisi ‘flip-flop’ Madani atau mahu dipimpin kerajaan lain,” katanya lagi.
Beliau turut mendakwa Kerajaan Madani sudah berada dalam keadaan sukar untuk dipertahankan dan sekiranya tempoh pentadbiran diteruskan sehingga tamat penggal kerana lebih banyak politiking akan berlaku yang tidak baik kepada ekonomi negara.
“Kerajaan Madani sudah hampir karam dan tidak mampu dipertahankan lagi.
“Jikalau menunggu sehingga habis penggal, lagi banyak ‘politiking’ akan berlaku dan ia tidak baik untuk ekonomi negara, menjejaskan reputasi negara di mata luar dan yang paling merisaukan, kualiti hidup rakyat akan semakin terhakis,” katanya lagi.
Sehubungan itu, Syed Mohd Johan berkata Perdana Menteri perlu menjadikan apa yang disifatkannya sebagai ‘langkah Dap’ susulan keputusan Anthony Loke sebagai titik penamat kepada kemelut politik yang berlaku.
“PMX harus jadikan ‘langkah Dap’ sebagai penamat terhadap kekusutan politik negara,” katanya lagi.
Dalam pada itu, beliau mempersoalkan keputusan Dap untuk mengekalkan menteri-menteri lain dalam kabinet meskipun parti berkenaan mengambil pendirian terhadap keputusan pengampunan bersyarat membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
“Dap perlu berhenti bersandiwara dengan peletakan jawatan Anthony Loke.
“Kenapa tidak seluruh anggota Kabinet Dap lepaskan jawatan, kenapa Nga Kor Ming juga tidak lepaskan jawatan?” soalnya.
Syed Mohd Johan berkata persoalan itu timbul susulan kenyataan Nga sebelum ini bahawa beliau bersedia meletakkan jawatan sebagai anggota Jemaah Menteri sekiranya Najib dibebaskan tanpa menjalani hukuman yang setimpal.
“Jika syarat janji Nga belum berlaku kerana Najib masih menjalani hukuman, mengapa Anthony perlu berundur? Jika keputusan ini cukup serius sehingga seorang menteri mesti berundur, mengapa bukan Nga yang mengotakan kata-katanya?” katanya lagi.
Beliau turut mempersoalkan bentuk peletakan jawatan yang diumumkan Anthony Loke kerana keputusan tersebut masih tertakluk kepada pertimbangan Perdana Menteri.
“Anthony juga belum meninggalkan Kabinet, sebaliknya hanya akan menawarkan peletakan jawatannya kepada Perdana Menteri.
“Jika tawaran itu ditolak, Anthony kekal, Nga kekal dan semua menteri Dap terus memegang jawatan.
“Maka ini peletakan jawatan atas prinsip atau sekadar surat tawaran yang dirancang untuk ditolak? Rumah sudah siap, pahat masih berbunyi,” katanya.
Mengulas pendirian Dap berhubung institusi diraja, Syed Mohd Johan berkata parti berkenaan tidak seharusnya hanya menggunakan ungkapan ‘Daulat Tuanku’ apabila sesuatu keputusan selari dengan pendirian politik mereka.
“Jangan laungkan ‘Daulat Tuanku’ hanya ketika keputusan menyebelahi parti sendiri.
“Rakyat sedang menilai sama ada Dap benar-benar menjunjung institusi Raja atau hanya tunduk apabila keputusan memenuhi kehendak politik mereka,” katanya.
Pada Sabtu, Anthony Loke menawarkan peletakan jawatan sebagai Menteri Pengangkutan susulan keputusan memberikan pengampunan bersyarat kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, yang membolehkan baki hukuman penjara dijalani di bawah tahanan rumah tertakluk kepada syarat yang ditetapkan.
Bagaimanapun, Loke menjelaskan peletakan jawatan itu hanya melibatkan dirinya, manakala menteri dan timbalan menteri daripada DAP akan terus berada dalam Kerajaan Perpaduan atas alasan memastikan kestabilan politik. – UMNO Online
