Hafiz Ariffin Wakili Malaysia Ke Yakutia
KUALA LUMPUR, 20 Sept – Setiausaha Pemuda UMNO Malaysia, Mohd Hafiz Ariffin mencatat satu lagi pengalaman di pentas antarabangsa apabila dijemput ke Yakutia, Republic of Sakha, Russia sebagai salah seorang pemerhati antarabangsa bagi mengikuti secara dekat proses persiapan dan pelaksanaan pilihan raya di wilayah berkenaan.
Jemputan rasmi itu adalah daripada Central Election Commission of the Russian Federation, bersempena Pilihan Raya Ahli State Duma bagi penggal kesembilan.
Beliau berkata, penyertaan itu memberi peluang kepada beliau untuk melihat sendiri perjalanan proses demokrasi di Yakutia, termasuk persiapan menjelang pilihan raya, pelaksanaan proses pengundian serta keadaan di pusat-pusat pengundian.
“Ini merupakan satu pengalaman yang sangat bermakna kerana saya berpeluang melihat sendiri bagaimana proses pilihan raya diuruskan dalam suasana dan konteks yang berbeza daripada Malaysia.
“Sebagai pemerhati antarabangsa, kita bukan sahaja melihat proses pengundian pada hari pilihan raya, tetapi turut diberi peluang memahami persiapan, tatacara pengurusan serta suasana keseluruhan yang berkaitan dengan proses demokrasi di wilayah ini,” katanya.
Hafiz yang juga Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Sembrong menjelaskan, penglibatan tersebut sekali gus memberikan pengalaman dan pendedahan baharu kepada kepimpinan anak muda Malaysia dalam memahami amalan serta pengurusan pilihan raya dalam konteks antarabangsa.
“Pada saya, pengalaman seperti ini amat penting khususnya kepada generasi muda kerana ia memberi perspektif yang lebih luas mengenai amalan demokrasi dan pengurusan pilihan raya di peringkat antarabangsa,” katanya lagi.
Pada masa sama, penyertaan Hafiz membawa nilai yang lebih besar apabila ia membuka ruang untuk memperkenalkan Malaysia serta membawa suara dan perspektif anak muda Malaysia ke pentas antarabangsa.
Penglibatan tersebut sekali gus memberikan pengalaman dan pendedahan baharu kepada kepimpinan anak muda Malaysia dalam memahami amalan serta pengurusan pilihan raya dalam konteks antarabangsa.
Ia memperlihatkan bahawa penglibatan anak muda Malaysia tidak terbatas kepada ruang politik domestik semata-mata, sebaliknya turut mampu mengambil bahagian dalam wacana dan pengalaman demokrasi di peringkat global. – UMNO Online
