UMNO Kedah Ingatkan Jangan Ada Pihak Pertikai Kuasa Prerogatif Agong – Mahdzir Khalid
ALOR SETAR, 19 Sept – UMNO Negeri Kedah mengingatkan agar tidak ada pihak yang mempertikaikan kuasa Prerogatif Yang diPertuan Agong (YDPA) Sultan Ibrahim, atas perkenan Tuanku memberikan pengampunan bersyarat kepada Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah.
Pengerusinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, keputusan tersebut tidak perlu dijadikan polemik kerana ianya adalah sah, menepati peruntukan undang-undang dan tidak boleh dicabar di Mahkamah Sivil.

“Pertama sekali, UMNO Negeri Kedah dengan penuh takzim merafak sembah menjunjung kasih, menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan atas limpah ihsan, kebijaksanaan dan budi bicara Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, atas perkenan Tuanku memutuskan perkara besar berkaitan Datuk Seri Najib.
“Keputusan yang diperkenankan oleh Tuanku itu kami terima dengan penuh rasa syukur, rendah hati dan penghormatan yang tidak berbelah bahagi kepada institusi Yang di-Pertuan Agong serta sistem Perlembagaan dan undang-undang negara.
“Pada masa yang sama saya nak ingatkan bahawa jangan ada pihak yang cuba bermain sentimen dengan membuat kenyataan yang menidakkan kuasa Prerogatif Tuanku Agong yang sememangnya dibuat atas jalur undang-undang,” katanya dalam satu kenyataan kepada media hari ini.
Jelas Mahdzir, Yang diPertuan Agong telah melaksanakan kuasa budi bicara dan kuasa prerogatif Baginda di bawah Perkara 42(1) Perlembagaan Persekutuan yang tidak boleh dicabar dan dipertikaikan oleh mana-mana pihak.
“Perkara tersebut perlu diterima secara berlapang dada oleh semua pihak dan seluruh lapisan rakyat jelata, kerana Baginda mempunyai hak dan kuasa yang jelas yang telah dimaktubkan dalam Perlembagaan Persekutuan.
“Jangan kerana pihak yang menerima keistimewaan itu bukan di pihak kita, kita terus menolak dan mempertikaikan keputusan tersebut tetapi menyokong penuh tanpa pertikai apabila melibatkan pihak yang disokong,” katanya lagi.
Mahdzir turut mengingatkan supaya tidak ada mana-mana pihak yang cuba membangkitkan persoalan yang menjurus kepada kekeliruan dalam kalangan rakyat berkaitan kuasa prerogatif Yang diPertuan Agong.

“Saya menyeru supaya perkara tersebut tidak dimanipulasi demi untuk meraih populariti atau sokongan dalam bentuk undi dalam mana-mana pilihan raya nanti dan jangan juga dijadikan modal untuk berkempen sehingga menimbulkan kekeliruan dalam kalangan rakyat,” ujarnya.
Sementara itu, UMNO Kedah kata Mahdzir turut menitipkan doa agar Datuk Seri Najib diberikan kekuatan, kesabaran dan dipermudahkan segala urusan dalam menjalani baki hukuman mengikut ketetapan yang telah diperkenankan.
“Kepada seluruh ahli UMNO di Kedah dan seluruh negara, marilah kita menerima perkembangan ini dengan penuh kesyukuran, tanpa melampaui batas dalam setiap ungkapan dan tindakan.
“Segala doa dan harapan kita selama ini telah dimakhbulkan dan kita berharap ianya akan memberi sinar baru kepada perjuangan seluruh ahli UMNO,” tegasnya.
Kata Mahdzir, UMNO Kedah juga melancarkan Tabung Solidariti Najib Razak di semua peringkat Bahagian UMNO di negeri itu sebagai tanda sokongan kepada Mantan Presiden UMNO dan Perdana Menteri itu melunaskan denda sebanyak RM50 juta yang dikenakan. – UMNO Online
