Melaka Lokasi Permulaan Jelajah Mega Penerangan

MASJID TANAH, 19 Sept – Melaka menjadi negeri pertama bagi gerakan Jelajah Mega Penerangan UMNO Malaysia yang dilancarkan malam tadi sebagai usaha memperkukuh strategi penerangan parti dan menyusun gerak kerja secara lebih sistematik.

Majlis pelancaran di Villa D’Acqua, Masjid Tanah itu disempurnakan Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Datuk Seri Azalina Othman Said, dan turut dihadiri Ketua Penerangan UMNO Melaka, Datuk Fairul Nizam Roslan, serta pimpinan dan barisan Ketua Penerangan UMNO Melaka.

Azalina berkata gerakan berkenaan dimulakan di Melaka mengambil kira negeri itu yang bakal berdepan Pilihan Raya Negeri (PRN), sekali gus memerlukan persediaan serta pendekatan penerangan yang bersesuaian dengan perkembangan semasa.

“Hari ini kita mulakan gerakan penerangan di Melaka. Kita terima hakikat Melaka akan berdepan PRN dan perlu bersedia dengan pendekatan baharu kerana dalam demokrasi, satu undi boleh menang dan satu undi boleh kalah,” katanya.

Beliau berkata jelajah itu akan diteruskan selepas ini termasik ke negeri-negeri lain.

Azalina turut menekankan keperluan menyesuaikan pendekatan penerangan dengan pelbagai kelompok masyarakat, khususnya golongan muda dan Gen Z yang mempunyai corak penerimaan maklumat yang berbeza.

Sementara itu, Datuk Fairul Nizam dalam ucapan alua-aluan berkata kejayaan gerakan penerangan memerlukan kerjasama semua pihak bagi memastikan setiap peringkat jentera dapat bergerak dalam satu penyelarasan yang jelas.

“Kerjasama semua amat diperlukan untuk kita bergerak. Jika digerakkan secara sistematik, ia mampu menjana kejayaan,” katanya.

Beliau berkata penyelarasan yang tersusun penting bagi memastikan gerak kerja penerangan dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan dan mesej parti sampai kepada rakyat.- UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO