UMNO Johor Hormati Proses Perlembagaan Dalam Isu Najib

KUALA LUMPUR, 18 Sept — UMNO Johor menegaskan kepentingan menghormati proses Perlembagaan dan kedaulatan undang-undang dalam perkembangan berkaitan pelaksanaan baki hukuman Datuk Seri Najib Tun Razak melalui tahanan rumah.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, semua pihak perlu menerima dan menghormati keputusan yang dibuat melalui saluran sah, selain memastikan isu berkenaan tidak disalah tafsir sehingga menjejaskan keharmonian serta kestabilan politik negara.

Menurut beliau, Malaysia adalah negara yang berteraskan Perlembagaan dan kedaulatan undang-undang, justeru setiap pihak mempunyai tanggungjawab untuk menghormati proses yang telah ditetapkan.

“Pelaksanaan baki hukuman melalui tahanan rumah hendaklah difahami berdasarkan kedudukan undang-undang serta terma keputusan rasmi yang telah dikeluarkan. Ia tidak seharusnya disalah tafsir sebagai suatu pembebasan atau pembatalan sabitan. Datuk Seri Najib masih menjalani baki hukuman sebagaimana yang telah ditetapkan,” katanya dalam kenyataan.

Onn Hafiz berkata UMNO Johor akan terus menjunjung kedaulatan undang-undang, menghormati proses Perlembagaan serta memelihara keharmonian, kestabilan dan kemuliaan institusi-institusi negara.

Beliau turut menyeru supaya perbincangan mengenai perkara itu dilakukan secara matang dan bertanggungjawab dengan mengutamakan fakta, menghormati undang-undang serta memelihara kepentingan negara.

Dalam pada itu, UMNO Johor menyambut baik inisiatif UMNO Malaysia menyediakan Tabung Sumbangan bagi mereka yang ingin memberikan sokongan secara sukarela dalam membantu melunaskan denda yang dikenakan. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO