Jasa Dan Rekod Najib Razak Perlu Dihargai – Rosnah
KUALA LUMPUR, 18 Sept – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin menegaskan sejarah pembangunan Sabah dan Sarawak tidak seharusnya dilupakan atau dipadam begitu sahaja kerana pelbagai inisiatif yang dilaksanakan sebelum ini telah memberi manfaat secara langsung kepada rakyat.
Beliau berkata, pembangunan di kedua-dua negeri berkenaan mempunyai sejarah yang panjang, merangkumi pelbagai aspek termasuk kebajikan rakyat, keselamatan, kesihatan, pendidikan, jaringan jalan raya serta pembangunan infrastruktur.
Menurutnya, ketika pentadbiran Datuk Seri Najib Razak, kerajaan pada ketika itu turut melaksanakan pelbagai inisiatif yang memberi tumpuan kepada kesejahteraan rakyat termasuk di Sabah dan Sarawak.
“Antaranya ialah Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), Klinik 1Malaysia, perkhidmatan kesihatan bergerak, bantuan persekolahan serta pembinaan baharu dan kerja-kerja baik pulih bangunan sekolah.
“Selain itu, kewujudan Urban Transformation Centre (UTC) dan pelaksanaan projek Lebuhraya Pan Borneo juga merupakan antara inisiatif pembangunan yang perlu dilihat dalam konteks sejarah pembangunan negara,” katanya.
Mengulas lanjut, Rosnah yang juga Ketua Wanita UMNO Bahagian Papar berkata, setiap projek dan inisiatif yang membawa kemudahan kepada rakyat mempunyai nilai tersendiri kerana ia mencerminkan komitmen kerajaan pada sesuatu tempoh dalam memenuhi keperluan masyarakat.
“Sejarah pembangunan bukan sekadar angka semata-mata. Ia adalah rekod usaha dan manfaat yang pernah dirasai rakyat,” ujarnya.- UMNO Online
