Junjung Keputusan Tuanku… Namun Pandangan Ahli Politik Terlibat Boleh Dipersoal
KUALA LUMPUR, 17 Sept – Pengarah Komunikasi Strategik UMNO Kedah, Syed Mohd Johan Rizal Syed Unan Mashri menegaskan bahawa keputusan Yang di-Pertuan Agong (YDPA) perlu dijunjung namun pandangan ahli politik terlibat boleh dipersoal.
Ini kerana katanya, beliau meragui pertimbangan Menteri Wilayah Persekutuan, Hannah Yeoh yang bertindak sebagai salah seorang ahli mesyuarat Lembaga Pengampunan dalam kes melibatkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak.

“Hannah Yeoh menyatakan pandangan beliau dalam mesyuarat Lembaga Pengampunan secara jujur, berterus terang dan berdasarkan hati nurani.
“Saya menghormati penjelasan itu. Namun, persoalannya adakah beliau membuat pertimbangan bebas selaku Menteri Wilayah Persekutuan, atau membawa pendirian politik Dap dan Pakatan Harapan (PH)?
“Sebelum mesyuarat berlangsung, Majlis Setiausaha PH telah menyatakan bahawa mereka yang disabitkan dalam kes rasuah atau salah guna kuasa berprofil tinggi perlu menjalani hukuman sepenuhnya. Pendirian itu kemudiannya dipertahankan oleh Timbalan Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Shafi Muhammad.
“Walaupun Datuk Seri Najib tidak disebut secara khusus, kenyataan yang dikeluarkan telah menimbulkan persoalan sama ada pendirian politik telah dibentuk lebih awal,” katanya.
Ujarnya, rakyat mahukan jaminan bahawa pandangan beliau tidak dipengaruhi arahan atau ketetapan parti.

“Saya tidak meminta Hannah mendedahkan nasihat Peguam Negara atau perkara sulit mesyuarat. Rakyat hanya mahukan jaminan bahawa pandangannya tidak dipengaruhi arahan atau ketetapan parti. Hati nurani ialah perkara peribadi, tetapi jawatan menteri ialah amanah awam.
“Timbul juga persepsi bahawa jentera komunikasi kerajaan, termasuk J-KOM, cenderung mengulangi naratif PH. Jika tidak benar, jelaskan secara terbuka. J-KOM dibiayai rakyat dan mesti berkhidmat untuk kerajaan, bukan mana-mana parti.
“Saya tegaskan, persoalan ini sama sekali tidak mempertikaikan kewenangan KDYMM Seri Paduka Baginda YDPA di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan.
“Keputusan Tuanku kita junjung. Namun pandangan ahli politik yang terlibat dalam proses tersebut tetap boleh dipersoalkan,” katanya lagi.
Mengulas lanjut, beliau menegaskan bahawa Najib berhak memohon ihsan melalui saluran Perlembagaan.
“Datuk Seri Najib berhak memohon ihsan melalui saluran Perlembagaan. Kita terus berdoa agar permohonannya dipertimbangkan dengan adil, bijaksana dan penuh ihsan.
“Hannah, yakinkan rakyat bahawa pandangan tersebut benar-benar pertimbangan bebas seorang menteri, bukan pendirian Dap atau PH yang dibawa masuk ke dalam mesyuarat,” katanya lagi.
Pada 11 September lalu, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) memaklumkan YDPA, Sultan Ibrahim berkenan supaya permohonan pengampunan Najib ditangguhkan ke Mesyuarat Lembaga Pengampunan yang akan diadakan kelak.
Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan dipengerusikan oleh Seri Paduka Baginda dan turut dianggotai oleh Peguam Negara, menteri yang bertanggungjawab terhadap Wilayah Persekutuan serta tiga anggota lain yang dilantik oleh Seri Paduka Baginda. – UMNO Online
