Jerebu Rentas Sempadan: Malaysia Utamakan Diplomasi Dan Pencegahan Awal — Ahmad Zahid
KUCHING, 16 Sept – Malaysia mengutamakan kerjasama diplomatik jangka panjang dan tindakan pencegahan awal berbanding mengemukakan tuntutan pampasan terhadap negara jiran dalam menangani isu jerebu rentas sempadan, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Majlis Pengurusan Bencana Negara berkata pendekatan diplomatik berhemah dan berstruktur merupakan langkah paling berkesan bagi mengelakkan isu sensitif antara negara anggota ASEAN, selain memastikan koordinasi teknikal dapat dilaksanakan secara optimum.

“Memang kalau kita meminta pampasan, ia bukan satu pertanggungjawaban muktamad yang harus ditanggung oleh mana-mana negara, tetapi apabila pencegahan dilakukan lebih awal, tidak perlu perkara yang menyentuh soal-soal sensitif antara negara ini berlaku.
“Langkah-langkah diplomatik harus dilakukan selain usaha-usaha teknikal antara pegawai di mana-mana negara jiran dan negeri-negeri di Malaysia,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Peringkat Tertinggi (HLC) Pengurusan Bencana Negara Bilangan 1 Tahun 2026 di Wisma Bapa Malaysia, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada Malaysia berhasrat mengetengahkan isu kerugian negara, khususnya dari sudut ekonomi, kesihatan dan pelancongan berikutan jerebu rentas sempadan kepada kerajaan Indonesia.
Timbalan Premier Sarawak merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Rubiah Wang turut hadir.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata isu jerebu rentas sempadan akan dibangkitkan secara rasmi dalam lawatan kerja beliau ke Jakarta bermula esok hingga 20 Sept ini bersempena dengan Persidangan Halal-20: Sidang Kemuncak Halal Dunia ke-5 2026 (Summit H20).
“Hal itu (isu jerebu rentas sempan) antara topik yang akan dibincangkan dengan Menteri Lingkungan Hidup atau Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam (dalam konteks Malaysia). Ada tujuh menteri yang akan berbincang dengan saya termasuk yang lain seperti sektor halal dan sebagainya.
“Antara topik yang penting ialah masalah jerebu yang akan saya bincangkan dan koordinasikan dengan Bapak Gibran (Naib Presiden Indonesia Gibran Rakabuming Raka),” katanya.
Berhubung bantuan kepada negara jiran, beliau berkata Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) diarahkan bersedia menyelaraskan sokongan operasi pembenihan awan (OPA) dan logistik bagi membantu menangani kebakaran hutan dan tanah gambut di Kalimantan, Indonesia sekiranya menerima permohonan rasmi daripada pihak berkuasa negara berkenaan.
Sementara itu, Ahmad Zahid dalam kenyataan media berkaitan mesyuarat berkenaan memaklumkan kerajaan kini beralih kepada pendekatan tindakan jangkaan bagi mendepani ancaman cuaca panas dan kering melampau akibat Super El Nino.
Langkah berkenaan merangkumi pemantauan titik panas, kesiapsiagaan aset pemadaman kebakaran, pengurusan kawasan tanah gambut, penguatkuasaan terhadap pembakaran terbuka serta penyediaan maklumat kesihatan kepada rakyat.
“Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) serta Jabatan Alam Sekitar (JAS) diminta menilai penggunaan telaga tiub sebagai sumber air alternatif, termasuk membaik pulih infrastruktur sedia ada di kawasan berisiko,” katanya
Menurut kenyataan itu, Majlis Pengurusan Bencana Negara (MPBN) turut meluluskan peruntukan keseluruhan RM5 juta bagi OPA dan pengurusan berkaitan untuk tahun ini, merangkumi RM2 juta bagi Fasa Pertama yang diluluskan pada 2 Jun dan RM3 juta bagi Fasa Kedua pada 2 Sept lepas. – BERNAMA
