Kedudukan YDP Besar Negeri Sembilan Bukan Kuasa Unilateral Menteri Besar

SEREMBAN, 15 Sept – Isu berhubung Surat Cara Proklamasi yang didakwa memberi kesan terhadap kedudukan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan tidak boleh dilihat sebagai pertarungan kuasa politik atau persoalan peribadi, sebaliknya mesti diputuskan berlandaskan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan (UUTKNS 1959).

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim menegaskan bahawa beliau tidak mempunyai kuasa secara unilateral untuk menamatkan atau mengosongkan jawatan Yang di-Pertuan Besar kerana kedudukan serta proses berkaitan institusi Diraja itu telah diperuntukkan secara jelas dalam Undang-Undang Tubuh Negeri.

Beliau berkata, dalam sistem Raja Berperlembagaan, setiap tindakan yang melibatkan institusi Diraja mesti mempunyai asas kuasa yang sah serta mematuhi proses dan syarat yang ditetapkan oleh Perlembagaan Negeri.

“Sesebuah Proklamasi tidak dengan sendirinya mewujudkan kuasa perlembagaan.

“Persoalan yang perlu ditentukan ialah apakah sumber kuasa bagi Proklamasi tersebut, apakah syarat dan prosedur yang ditetapkan oleh Undang-Undang Tubuh dan sama ada kesemua syarat tersebut telah dipatuhi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ismail berkata, Perkara 10 UUTKNS 1959 menetapkan kerangka khusus berkaitan tindakan terhadap kedudukan Yang di-Pertuan Besar, termasuk perkara yang berkaitan dengan proses serta Proklamasi.

Katanya, penglibatan Menteri Besar dalam proses yang ditetapkan oleh Undang-Undang Tubuh tidak boleh ditafsirkan sebagai memberikan kuasa kepada Menteri Besar untuk menentukan sendiri kedudukan Yang di-Pertuan Besar.

Sebaliknya, jelas beliau, apa-apa peranan yang diberikan kepada Menteri Besar hendaklah dilaksanakan dalam lingkungan kuasa serta kehendak UUTKNS 1959.

Ismail turut menegaskan bahawa isu berkenaan tidak seharusnya dijadikan ukuran mengenai siapa mempunyai kuasa politik yang lebih besar antara Institusi Diraja, Undang, Menteri Besar atau Kerajaan Negeri.

“Dalam sistem Raja Berperlembagaan, kuasa mesti bersumberkan Perlembagaan dan undang-undang.

“Institusi Diraja, Undang, Menteri Besar dan Kerajaan Negeri masing-masing mempunyai kedudukan serta fungsi yang ditentukan oleh Undang-Undang Tubuh,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, persoalan paling utama yang perlu ditentukan ialah kesahan serta kesan undang-undang Proklamasi berkenaan.

Tiga perkara, katanya, perlu diberikan perhatian iaitu sumber kuasa perlembagaan bagi Proklamasi tersebut; syarat dan prosedur yang ditetapkan oleh UUTKNS 1959; serta sama ada semua syarat dan prosedur itu telah dipatuhi sehingga Proklamasi berkenaan benar-benar mempunyai kesan undang-undang seperti yang didakwa.

Menurut Ismail, pertikaian berkaitan perkara sebesar itu tidak wajar diselesaikan melalui polemik politik atau percaturan kepentingan individu.

Sebaliknya, katanya, ia perlu diselesaikan menerusi proses perlembagaan dan undang-undang yang sah, termasuk melalui penentuan kehakiman sekiranya timbul pertikaian mengenai persoalan undang-undang.

Beliau pada masa sama menegaskan penghormatan penuh terhadap Institusi Yang di-Pertuan Besar, Undang Yang Empat serta Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan.

“Apa yang perlu dipertahankan bukan kepentingan mana-mana individu, tetapi keluhuran Perlembagaan, kepastian undang-undang dan kesinambungan institusi Raja Berperlembagaan.

“Undang-Undang Tubuh mesti menjadi asas. Proses perlembagaan mesti dihormati. Institusi mesti dipelihara,” katanya lagi. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO