Jangan Jadikan Agama Bahan Jenaka Politik – Rosnah
KUALA LUMPUR, 15 Sept – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin menyelar sekeras-kerasnya sebarang ucapan di pentas Perhimpunan Agung UMNO 2026 yang menyentuh sensitiviti agama lain, sambil menegaskan bahawa perbezaan politik bukan lesen untuk mempermainkan perkara yang menyentuh soal kepercayaan.
Tegasnya, politik yang matang tidak dibina atas penghinaan, sindiran atau jenaka yang menjadikan agama sebagai bahan permainan politik, sebaliknya mesti berteraskan hujah, dasar serta kepentingan rakyat.
“Perbezaan politik tidak seharusnya menjadi alasan untuk mempermainkan agama.
“Politik yang matang ialah politik yang berani berhujah tentang dasar dan isu rakyat, bukan menjadikan agama sebagai bahan jenaka atau sindiran.
“Jika berlaku kekhilafan, berlapang dada dan mohonlah maaf tanpa syarat. Itulah cerminan kepimpinan yang matang dan bertanggungjawab,” katanya.
Mengulas lanjut, Rosnah yang juga Ketua Wanita UMNO Bahagian Papar berkata, UMNO sendiri terdiri daripada masyarakat Melayu dan Bumiputera yang mempunyai latar belakang serta anutan agama yang berbeza, justeru setiap kepercayaan wajib dihormati dan sensitiviti agama mesti sentiasa dijaga.
“Ahli UMNO terdiri daripada masyarakat Melayu dan Bumiputera yang turut mempunyai latar belakang serta anutan agama yang berbeza.
“Justeru, setiap kepercayaan perlu dihormati dan sensitiviti agama hendaklah sentiasa dijaga,” tegasnya. – UMNO Online
