Penyertaan Wanita Meningkat, Jangan Bebankan Kos Haji
KUALA LUMPUR, 10 Sept – Wakil Jurucakap Puteri UMNO Negeri Selangor, Nurnabilah Faizureen Mohd Mokhtar berkata, penyertaan wanita dalam institusi perundangan dunia sememangnya menunjukkan perkembangan positif.
Jelasnya, wanita kini membentuk 27.5 peratus daripada keseluruhan ahli Parlimen di seluruh dunia, meningkat sedikit berbanding 27.2 peratus pada 2025.
“Peningkatan ini masih perlahan untuk mencapai kesaksamaan jantina yang ideal dalam perundangan. Data Kesatuan Antara Parlimen (IPU) menunjukkan negara yang mempunyai mekanisme kuota mencatat purata 30.9 peratus penyertaan wanita berbanding hanya 23.3 peratus di negara yang tidak mempunyai kuota.
“Angka ini membuktikan satu perkara, peluang tidak boleh bergantung kepada harapan semata-mata. Kita perlukan laluan yang jelas, persediaan yang sistematik dan keberanian untuk memberikan kepercayaan kepada wanita muda,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berbahas pada Perhimpunan Agung Pergerakan Puteri UMNO di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC KL) di sini, hari ini.
Turut hadir Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Datuk Nur Jazlan Mohamed; Datuk Mohamad Alamin dan Datuk Yakub Khan serta perwakilan Puteri UMNO.
Sementara itu bagi wakil jurucakap Puteri UMNO Negeri Melaka, Nur Farhana Ab Ghani menjelaskan, peningkatan kos haji perlu ditangani dengan penuh keprihatinan supaya impian rakyat untuk menjejakkan kaki ke Tanah Suci tidak semakin terbeban.
“Tabung Haji bukan sekadar tempat rakyat menyimpan wang. Tabung Haji adalah wadah yang membantu umat Islam menyempurnakan Rukun Islam kelima.
“Apabila kos haji meningkat, kita mesti memastikan rakyat tidak terus dibebankan sehingga impian mereka untuk ke Tanah Suci menjadi semakin jauh.
“Tempoh selama 13 tahun dari 2009 hingga 2021, apabila bayaran haji Muassasah bagi jemaah kali pertama dikekalkan pada RM9,980 seorang walaupun kos sebenar haji meningkat, membuktikan bahawa kemampuan rakyat masih boleh dipertahankan sekiranya terdapat kemahuan untuk berbuat demikian,” jelasnya.
Nur Farhana yang juga Naib Ketua Pergerakan Puteri UMNO Negeri Melaka menambah, jika bayaran haji sebanyak RM9,980 sebelum ini mampu dikekalkan selama 13 tahun, kerajaan bersama Tabung Haji perlu lebih bersungguh-sungguh mencari pendekatan terbaik supaya peningkatan kos tidak sentiasa dipindahkan kepada bahu rakyat.
“Isu kos haji bukan sekadar soal angka dan kemampuan kewangan, tetapi menyentuh harapan serta impian jutaan umat Islam yang telah lama menabung untuk menjadi tetamu Allah. UMNO mesti membawa suara rakyat.
“Tabung Haji mesti kekal sebagai institusi umat dan manfaatnya mesti benar-benar dirasai oleh pendeposit serta bakal jemaah haji,” ujarnya. – UMNO Online
