Ucapan Dasar Ketua Wanita UMNO – Datuk Seri Dr Noraini Ahmad
“MENANG KEPERCAYAAN, PIMPIN MASA DEPAN”
Bismillahirrahmanirrahim
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,
Salam Sejahtera
Terima kasih Pengacara Majlis.
PENDAHULUAN
Hadirin yang saya hormati sekalian,
1. Alhamdulillah. Marilah kita memanjatkan setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Allah SWT kerana dengan izin dan rahmatNya, kita dapat bersama-sama dalam Perhimpunan Agung
Wanita UMNO Malaysia 2026 pada hari ini.
2. Saya mengalu-alukan kehadiran perwakilan dari seluruh negara.
3. Saudari datang membawa suara negeri, bahagian dan cawangan. Saudari juga membawa keresahan rakyat, harapan keluarga dan masa depan perjuangan kita.
4. Saudari memahami erti setia ketika keadaan menjadi sukar. Ada yang datang dari jauh. Ada yang meninggalkan keluarga.
5. Politik sering mengangkat mereka yang berdiri di atas pentas. Tetapi sejarah selalu digerakkan oleh mereka yang sanggup bekerja ketika tiada siapa melihat.
6. Itulah Wanita UMNO. Kerana UMNO tidak akan rebah selagi Wanitanya tidak pernah menyerah.
PINTU YANG DIBUKA SEMULA
Rakan-rakan seperjuangan yang saya kasihi sekalian,
7. Perhimpunan kali ini berlangsung dalam suasana yang cukup berbeza. Setelah melalui perjalanan politik yang penuh ujian, kita kembali berhimpun dengan keyakinan yang semakin kuat.
8. Sedikit demi sedikit, rakyat mula membuka semula pintu kepercayaan kepada UMNO dan Barisan Nasional. Johor menjadi negeri pertama yang membukanya dengan begitu luas.
9. Alhamdulillah. Tahniah dan terima kasih kepada seluruh rakyat Johor. BN menang 48 daripada 56 kerusi. UMNO pula menang 36 daripada 37 kerusi. Ini satu kemenangan yang cukup membanggakan.
10. Sebagai anak Johor, saya sendiri rasa begitu bangga. Bangga dengan kerja keras seluruh jentera.
11. Dan paling penting, bangga kerana rakyat Johor telah memberikan kepercayaan yang begitu besar kepada BN untuk terus membawa negeri ini ke hadapan.
12. Kemenangan ini bukan untuk kita mendabik dada. Ini amanah rakyat. Amanah untuk bekerja lebih kuat dan menjaga rakyat lebih baik.
13. Terima kasih kepada seluruh rakyat Johor. Terima kasih kepada semua jentera yang bekerja siang dan malam. Setiap usaha, setiap keringat dan setiap pengorbanan akhirnya membuahkan hasil.
14. Negeri Sembilan menyambung langkah. 16 kerusi kita tanding. 16 kerusi kita menang.
15. Ini bukan kemenangan biasa. Ini kemenangan besar yang lahir daripada keyakinan rakyat kepada Barisan Nasional.
16. Kepada rakyat yang memberikan kepercayaan, terima kasih. Kepercayaan itu bukan hadiah untuk kita nikmati. Ia adalah amanah untuk kita galas.
17. Kepada Wanita UMNO yang turun dari seluruh negara, kemenangan ini juga milik saudari. Setiap langkah, keringat dan pengorbanan saudari semua ada di sebalik kemenangan ini.
18. Kebangkitan ini juga tidak berlaku dengan sendirinya. Di sebaliknya ada kepimpinan yang tetap berdiri ketika parti berhadapan dengan ujian paling getir.
19. Terima kasih kepada Presiden UMNO, YAB Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi. Memimpin sebuah parti ketika berada di puncak adalah satu tanggungjawab.
20. Tetapi memimpin ketika parti diuji, ketika keyakinan perlu dibina semula, ketika keputusan-keputusan yang sukar perlu dibuat. Itu menuntut ketahanan yang berbeza.
21. Kepada Presiden, Wanita UMNO merakamkan penghargaan kerana terus memimpin parti melalui landskap politik yang begitu kompleks.
22. Wanita akan terus setia dalam perjuangan ini. Wanita akan terus berdiri teguh bersama dengan kepimpinan Presiden.
WANITA TIDAK MELUPAKAN JASA
Sidang perwakilan yang saya hormati,
23. Dalam perjuangan, kita juga jangan menjadi bangsa yang mudah lupa. Kita menghargai mereka yang pernah menyumbang kepada parti.
24. Kita menghargai pemimpin-pemimpin terdahulu yang telah memberikan sebahagian besar kehidupan mereka kepada UMNO dan negara.
25. Dan Wanita UMNO juga tidak melupakan jasa Datuk Seri Najib Tun Razak.
26. Kita tidak perlu memadam sejarah untuk membina masa depan.
27. Sumbangan beliau kepada pembangunan negara, transformasi ekonomi, infrastruktur, bantuan kepada rakyat dan perjuangan UMNO adalah sebahagian daripada perjalanan negara yang tidak boleh dinafikan hanya kerana politik berubah.
28. Dalam perkara yang sedang melalui proses undangundang, kita menghormati institusi dan proses perundangan.
29. Tetapi menghormati proses undang-undang tidak menghalang kita daripada mempunyai nilai kemanusiaan. Wanita UMNO tahu mengenang jasa.
30. Kepada Datuk Seri Najib dan keluarga, Wanita UMNO mendoakan diberikan kekuatan dan ketabahan menghadapi setiap ujian.
31. Kita terus berdoa agar pintu keadilan dan ihsan dibuka, supaya beliau dapat kembali ke pangkuan keluarga dan bersama-sama meneruskan perjuangan.
TRUST WAVE. GELOMBANG KEPERCAYAAN
Rakan-rakan seperjuangan yang saya kasihi sekalian,
32. Johor dan Negeri Sembilan telah membuktikan bahawa apabila kita bersatu, apabila kita bekerja dan apabila kita percaya kepada perjuangan, kita boleh menang.
33. Tetapi kemenangan bukan taruhan untuk kita berasa selesa. Lagi besar kemenangan, lagi besar amanahnya. Lagi tinggi kepercayaan rakyat, lagi kuat kita kena bekerja.
34. Johor memberikan keyakinan. Negeri Sembilan memberikan momentum. Melaka mesti memberikan isyarat.
35. Sekarang kita mesti memenangi sesuatu yang jauh lebih sukar. Bukan hanya Gelombang Biru. Kita harus memenangi kepercayaan rakyat.
36. Wanita tidak mahu UMNO menang hanya kerana rakyat marah kepada orang lain atau kerana lawan melakukan kesilapan. Saya mahu kita menang kerana rakyat kembali percaya kepada kita.
37. Kemenangan mungkin kelihatan di peti undi. Tetapi ia bermula lebih awal, apabila seorang rakyat memilih untuk mempercayai kita.
38. Seorang membawa keluarganya. Sebuah keluarga mempengaruhi keluarga yang lain. Sedikit demi sedikit, kepercayaan itu bergerak dan membesar.
39. Apabila kita mahu Gelombang Biru ini sampai ke PRU dan membawa Barisan Nasional kepada kemenangan, gelombang itu mesti disokong dengan kepercayaan rakyat.
40. Gelombang Biru membawa semangat. Gelombang Kepercayaan membawa kemenangan. Tetapi kepercayaan tidak boleh dipaksa. Tidak boleh dibeli. Dan tidak boleh dituntut.
41. Kita tidak boleh berkata kepada rakyat, percayalah kepada kita hanya kerana kita pernah berjasa.
42. Jasa semalam memberikan kita sejarah. Kerja hari ini memberikan kita kepercayaan. Sebab itu, kita mesti memberikan rakyat sebab untuk kembali percaya kepada kita.
43. Mereka mesti percaya bahawa kita memahami keresahan mereka. Mereka mesti percaya bahawa kita sanggup membela
kepentingan mereka. Dan mereka mesti percaya bahawa UMNO mempunyai jawapan untuk masa depan mereka.
44. Sebab itu, Gelombang Kepercayaan bukan kempen untuk meminta rakyat percaya. Gelombang Kepercayaan adalah gerakan untuk memberikan rakyat sebab untuk percaya.
45. Gelombang Kepercayaan mesti bermula dengan Wanita. Kerana Wanita mempunyai jaringan kepercayaan yang tidak boleh dibina oleh algoritma.
46. Kita mengenali keluarga. Kita mendengar keresahan mereka. Kita tahu apabila kos hidup mula menghimpit. Kita tahu apabila anak muda mula kehilangan harapan.
47. Sebelum sesuatu masalah menjadi angka dalam laporan, Wanita sudah mendengarnya di pasar, di surau dan di rumah rakyat.
48. Inilah kekuatan kita. Hubungan yang dibina bukan untuk sehari. Kepercayaan yang dijaga bukan hanya ketika pilihan raya.
AKAR YANG TEGUH, ARAH YANG JELAS
Sidang perwakilan yang saya hormati sekalian,
49. Untuk memimpin masa depan, kita mesti terlebih dahulu memahami kedudukan UMNO pada hari ini.
50. Kita berada dalam sebuah kerajaan yang dibentuk melalui kerjasama antara parti-parti yang berbeza dari segi sejarah, ideologi, dasar dan perjuangan.
51. Kita memilih jalan ini demi kestabilan negara dan kepentingan rakyat. Tetapi berada dalam kerajaan tidak bermakna kita mesti kehilangan suara.
52. Empat tahun kita menjadi antara tiang yang menegakkan kestabilan negara. Jangan ada sesiapa yang mengatakan kestabilan itu berdiri dengan sendirinya.
53. Kalau UMNO cukup penting ketika kerajaan perlu dibentuk, UMNO juga mesti cukup penting ketika keputusan yang menyentuh kehidupan rakyat dibuat.
54. Wanita faham erti berkawan. Kita juga faham erti bertolak ansur. Tetapi orang perempuan juga tahu, kalau terlalu banyak
mengalah, lama-lama orang menyangka kita tidak mempunyai pendirian.
55. Kita boleh duduk semeja. Tetapi jangan sampai kerusi dan suara kita semakin kecil.
56. UMNO bukan penumpang dalam perjalanan politik negara ini. Kita pernah memandu negara ini. Kita tahu jalannya, kita tahu destinasinya dan kita masih mempunyai kekuatan untuk menentukan arahnya.
57. Ya, kita menyertai kerajaan demi kestabilan. Kita akan terus mempertahankan kestabilan. Tetapi itu bukan alasan untuk UMNO berhenti membina kekuatannya sendiri.
58. Atas pendirian itulah, Wanita menggariskan lima prinsip dalam menghadapi apa juga bentuk kerjasama politik.
59. Pertama. Jangan gadaikan asas perjuangan.
60. Kedua. Jangan gadaikan maruah parti.
61. Ketiga. Jangan gadaikan kestabilan negara.
62. Keempat. Jangan pinggirkan masyarakat majmuk Malaysia.
63. Kelima. Jangan sekali-kali gadaikan suara akar umbi.
64. Kita boleh berkawan dengan sesiapa. Tetapi kita mesti tahu siapa diri kita.
65. Kerjasama tidak boleh menghakis identiti. Identiti pula tidak boleh menjadi alasan untuk menolak kerjasama. Kita mesti bijak menjaga kedua-duanya.
66. Ada masanya kita terlalu berhati-hati. Hendak bercakap soal Melayu, takut orang kata kita terlalu Melayu. Hendak bercakap soal Islam, takut disalahertikan. Hendak
mempertahankan UMNO, takut dikatakan tidak menjaga hati rakan.
67. Wanita mahu bertanya. Sejak bila kita perlu meminta maaf kerana menjadi UMNO?
68. UMNO lahir daripada kesedaran orang Melayu untuk mempertahankan masa depan agama, bangsa dan tanah air.
69. Sebab itu, UMNO bukan parti yang tercipta kerana musim politik. UMNO lahir kerana sebuah bangsa tidak mahu kehilangan hak untuk menentukan masa depannya sendiri.
70. Hari ini, ada pihak yang mengatakan bahawa perjuangan berasaskan agama dan bangsa sudah tidak lagi sesuai dengan
perubahan zaman.
71. Mereka mahu UMNO meninggalkan identitinya atas nama kemajuan. Dari pentas ini, jawapan kita jelas.
72. Ya, UMNO mempunyai identiti. UMNO lahir dengan identiti. UMNO membesar dengan identiti.
73. Dan UMNO tidak akan membuang identitinya hanya untuk mendapatkan tepukan. Apatah lagi tepukan daripada mereka yang tidak memahami sejarah perjuangan kita.
74. Kalau mempertahankan Islam sebagai agama Persekutuan dikatakan politik identiti, kita terima.
75. Kalau mempertahankan kedudukan orang Melayu dan Bumiputera, seperti yang termaktub dalam Perlembagaan dikatakan politik identiti, kita terima.
76. Kalau mempertahankan bahasa Melayu dan institusi RajaRaja Melayu dikatakan politik identiti, kita juga terima.
77. Namun jangan samakan politik identiti UMNO dengan politik kebencian.
78. Kita tidak perlu membenci kaum lain untuk membela orang Melayu. Kita tidak perlu menghina agama lain untuk mempertahankan Islam.
79. Kita mahu orang Melayu yang kuat bukan supaya bangsa lain menjadi lemah. Kita mahu orang Melayu yang kuat supaya Malaysia menjadi lebih kuat.
80. Kerana perjuangan yang benar-benar kuat tidak memerlukan kebencian untuk terus berdiri.
81. Malaysia tidak dibina dengan memadamkan identiti setiap kaum.
82. Malaysia menjadi kuat apabila setiap masyarakat yakin dengan kedudukan mereka. Dengan keyakinan itulah, kita berdiri bersama-sama membina negara.
83. Mempertahankan akar tidak bermakna kita menolak perubahan. Menjaga nilai tidak bermakna kita takut kepada kemajuan.
84. UMNO mesti teguh pada nilai, sederhana dalam pendekatan dan progresif dalam tindakan.
85. Pendekatan boleh berubah. Zaman boleh berubah. Tetapi prinsip perjuangan UMNO tidak sekali-kali akan kita gadaikan.
86. Kita mempertahankan Perlembagaan. Pada masa yang sama, kita mesti menguasai teknologi, mengangkat anak muda dan membuka ruang yang lebih luas kepada wanita.
87. Kita menjaga akar warisan. Tetapi dahan perjuangan mesti terus tumbuh.
88. Kita boleh berubah tanpa kehilangan jati diri. Kita boleh melangkah ke hadapan tanpa mencabut akar perjuangan yang
kita bina selama ini.
89. Kerana sejarah memberikan kita akar. Tetapi masa depan menuntut arah.
RUMAH BANGSA, RUMAH MASA DEPAN
Para perwakilan yang saya hormati sekalian,
90. Gelombang Kepercayaan bukan sahaja membawa rakyat mendekati UMNO. Ia juga mesti membawa pulang mereka yang pernah menjauh daripada perjuangan ini.
91. Dalam perjalanan sebuah perjuangan, ada yang terus setia. Ada yang pernah kecewa. Ada juga yang memilih untuk menjauh.
92. Tetapi sebuah keluarga tidak akan selamanya membiarkan pintunya tertutup. Sebab itu, Wanita menyambut baik gagasan
Rumah Bangsa yang dibawa oleh YAB Datuk Seri Presiden.
93. Rumah Bangsa bukan sekadar tempat untuk kita kembali. Ia adalah tempat untuk menyatukan semula keluarga besar kita
yang pernah terpisah kerana perjalanan politik.
94. Rumah Bangsa bukan tempat mengulangi pertelingkahan lama. Rumah Bangsa mesti menjadi tempat kita membina kekuatan semula.
95. Sebab itu Rumah Bangsa mesti menjadi rumah yang cukup besar untuk menyatukan, cukup terbuka untuk menerima dan cukup kuat untuk membawa UMNO ke hadapan.
96. Kita mungkin pernah berbeza pandangan. Kita mungkin pernah berkecil hati. Tetapi jangan kerana perbezaan sesama kita, kita lupa bahawa perjuangan yang lebih besar sedang menunggu di hadapan.
97. Kita mahu Rumah Bangsa menjadi tempat untuk menyembuhkan perpecahan dan tempat kita bersama-sama membina masa depan bangsa dan negara.
LALUAN 30 WANITA UMNO
Sidang perwakilan yang saya hormati sekalian,
98. Berpuluh tahun kita dipanggil tulang belakang UMNO. Kita dekati pengundi, kita urus PDM dan kita jaga kebajikan. Bila parti senang, kita bekerja. Ketika parti susah, kita tetap berdiri.
99. Kita bangga dengan gelaran itu. Tetapi kalau Wanita tulang belakang parti, kenapa suara kita tidak sentiasa berada di
hadapan ketika keputusan dibuat?
100. Kita tak mahu hanya dipanggil ketika tenaga diperlukan. Wanita juga mesti berada di meja membentuk dasar dan bersama menentukan arah perjuangan.
101. Kita telah terlalu lama bercakap tentang sasaran 30%. 30% di atas kertas. 30% di atas pentas. Tetapi apabila tiba masa nak tentukan calon, nanti dulu lah.
102. Wanita bukannya menuntut tempat atas dasar belas kasihan. Kita juga tidak meminta jalan dipermudahkan.
103. Kita hanya mahu kemampuan Wanita dinilai dengan adil dan peluang diberikan kepada mereka yang benar-benar layak.
104. Sebab itu, saya mengemukakan Laluan 30 Wanita UMNO. Laluan 30 ialah laluan untuk mengenal pasti, mempersiapkan dan membawa wanita hingga ke kerusi kepimpinan.
105. Kita mulakan dengan Talent Bank atau Bank Bakat Wanita UMNO.
106. Setiap Wanita negeri mesti mengenal pasti calon yang berpotensi untuk berkhidmat di Parlimen, Dewan Undangan
Negeri, Dewan Negara, GLC dan kepimpinan masyarakat.
107. Kita cari mereka. Kita bina mereka. Kita uji mereka. Kita berikan mereka pengalaman. Kemudian, kita persiapkan mereka untuk memimpin.
108. Saya tidak mahu Wanita meminta seseorang dipilih hanya kerana dia seorang wanita. Itu bukan perjuangan kita.
109. Saya mahu apabila nama seorang wanita diangkat, bersamanya hadir kemampuan, integriti, rekod kerja dan keyakinan akar umbi.
110. Talent Bank bukan sekadar mencari pengganti pemimpin lama. Talent Bank adalah usaha untuk memastikan kita tidak
kehilangan bakat baharu.
111. Kalau kita tidak mencari dan membina mereka, orang lain akan melakukannya.
112. Bayangkan kekuatan UMNO jika bakat ini kita kenal, kita bina dan kita gerakkan. Inilah yang akan menjadikan Talent Bank
sebagai aset penting kepada parti.
PUSAT KECEMERLANGAN WANITA
113. Mengenal pasti bakat sahaja tidak mencukupi. Bakat yang ditemukan mesti dibina. Kemampuan mereka mesti diperkukuh.
Pengalaman juga mesti diberikan sebelum tanggungjawab diserahkan.
114. Sebab itu, dengan adanya Talent Bank, kita akan memperkukuh lagi Pusat Kecemerlangan Wanita @ DELIMA sebagai pusat pembangunan bakat Wanita UMNO.
115. Talent Bank menemukan bakat. DELIMA akan mengasahnya. Di sinilah mereka diberikan latihan, bimbingan dan pendedahan sebelum dipersiapkan untuk memimpin.
116. DELIMA ini akan memberikan tumpuan kepada empat bidang utama.
Pertama, kepimpinan dan politik.
Kedua, kecerdasan buatan, data dan digital.
Ketiga, komunikasi dan media.
Keempat, ekonomi dan keusahawanan.
117. Kita mahu Wanita menguasai medan politik. Tetapi kita juga mahu Wanita memahami teknologi dan AI, mampu membentuk naratif dan mempunyai kekuatan ekonomi.
118. Melalui pusat ini, kita akan menyusun latihan dan pementoran dengan lebih terarah.
119. Kita juga akan membuka ruang kepada peserta untuk belajar daripada pemimpin dan profesional yang berpengalaman dalam bidang masing-masing.
120. Peluang seperti ini tidak sepatutnya datang secara kebetulan. Kita mesti membuka jalannya supaya lebih ramai Wanita dapat melangkah lebih jauh.
121. DELIMA ini bukan sekadar tempat menghadiri kursus. Di sinilah bakat ditemukan. Di sinilah kemampuan dibina. Di sinilah Wanita dipersiapkan untuk memimpin.
AGENDA WANITA, BUKTI KEPERCAYAAN
Hadirin yang saya hormati sekalian,
122. Kepercayaan tidak lahir daripada kata-kata yang dilontar di atas pentas. Ia lahir apabila rakyat melihat kita mendengar,
memahami dan bertindak.
123. Sebab itu, setiap agenda Wanita mesti membawa satu tujuan yang sama. Memberikan rakyat sebab untuk mempercayai kita.
124. Perjuangan Wanita tidak digerakkan oleh tangan yang bekerja sahaja. Ia juga memerlukan fikiran yang mampu menunjukkan jalan.
125. Kekuatan itulah yang kita himpunkan melalui Voices of HER dan Sekretariat Wanita Profesional.
126. Voices of HER telah membuka ruang kepada wanita untuk membincangkan isu yang dekat dengan kehidupan mereka.
Pandangan itu kemudiannya dibawa ke ruang yang lebih luas.
127. Sekretariat Wanita Profesional pula menghimpunkan kepakaran dan pengalaman wanita daripada pelbagai bidang untuk membantu memperkukuh perjuangan parti.
128. Kepada semua yang menggerakkan Voices of HER dan Sekretariat Wanita Profesional, saya merakamkan penghargaan dan terima kasih.
129. Pada masa yang sama, saya merakamkan penghargaan kepada seluruh urus setia Laman Wanita Kreatif yang telah bertungkus-lumus menjayakan program ini.
130. Laman Wanita Kreatif menghimpunkan bakat wanita dari seluruh negara melalui pameran, demonstrasi pembuatan produk, kesihatan dan kecantikan, bual bicara serta pelbagai aktiviti menarik.
131. Inilah ruang untuk wanita mengetengahkan kreativiti,
memperkenalkan produk dan membuka peluang yang lebih luas dalam bidang keusahawanan.
MEMPERKUKUH EKONOMI WANITA
Sidang perwakilan yang saya hormati sekalian,
132. Ekonomi mungkin dibincangkan melalui angka. Tetapi bagi seorang wanita, ekonomi dirasai di meja makan, di kaunter pembayaran dan di dalam dompet keluarga.
133. Ada yang berhenti kerja kerana kos penjagaan anak. Ada yang mahu kembali bekerja tetapi peluang semakin sempit. Ada
pula yang berniaga, tetapi sukar menembusi pasaran.
134. Mereka bukan tidak rajin. Mereka bukan tidak berkebolehan. Mereka hanya memerlukan peluang yang sesuai dengan kehidupan mereka.
135. Sebab itu, kita tidak mahu wanita sekadar dibantu untuk bertahan. Kita mahu mereka mampu menjana pendapatan dan
menentukan masa depan keluarga.
136. Kemudahan penjagaan anak, pekerjaan anjal dan latihan semula mesti diperluas. Jangan biarkan pengalaman mereka hilang hanya kerana pernah berhenti untuk menjaga keluarga.
137. Bagi usahawan wanita, pinjaman hanyalah benih pertama. Mereka juga memerlukan pasaran, bimbingan, teknologi dan jaringan perniagaan.
138. Kejayaan bukan diukur melalui jumlah peserta kursus ataupenerima pinjaman. Ukuran sebenarnya ialah peningkatan
pendapatan dan perkembangan perniagaan mereka.
139. Kita juga mahu lebih ramai wanita memiliki aset. Pendapatan membantu kehidupan hari ini. Tetapi rumah, tanah, simpanan dan pegangan dalam perniagaan melindungi masa depan mereka.
140. Sebab itu, pelaksanaan PuTERA35 mesti membuka peluang sebenar kepada wanita untuk memperoleh modal, memasuki pasaran baharu dan memiliki aset.
141. Jangan tunggu sehingga tahun 2035 untuk menilai hasilnya. Penyertaan dan pencapaian wanita mesti dilihat dari tahun ke tahun.
142. Perlindungan sosial juga mesti merangkumi wanita yang bekerja sendiri, pekerja gig dan mereka yang menjaga ahli keluarga sepenuh masa.
143. Nama mereka mungkin tiada dalam senarai gaji. Sumbangan mereka mungkin tidak tercatat dalam penyata pendapatan. Tetapi tanpa kerja mereka, banyak keluarga tidak akan mampu berdiri seperti hari ini.
IBU GENERASI DAN SAHABAT NURANI
Sidang perwakilan yang saya hormati sekalian,
144. Sebuah keluarga tidak berdiri dengan pendapatan sematamata. Ia juga berdiri atas kekuatan jiwa generasi yang dibesarkan di dalamnya.
145. Seorang ibu tidak bertanya parti mana mendapat berapa kerusi. Dia bertanya sama ada anaknya mendapat pendidikan dan pekerjaan. Sama ada keluarganya selamat. Dan sama ada masa depan anaknya akan menjadi lebih baik.
146. Semua itu penting. Tetapi ada satu perkara yang semakin mendesak. Bagaimana dengan jiwa anak-anak kita?
147. Hari ini, anak-anak kita bukan hanya dibesarkan oleh keluarga dan sekolah. Mereka juga sedang dibesarkan oleh algoritma.
148. Setiap hari mereka berhadapan dengan tekanan, buli siber, penipuan, pornografi dan deepfake.
149. Mereka juga hidup dalam budaya yang membuatkan mereka sentiasa membandingkan kehidupan sendiri dengan orang lain.
150. Kita bertanya tentang pelajaran mereka. Kita bertanya tentang pekerjaan mereka. Tetapi berapa kerap kita bertanya, adakah mereka benar-benar baik-baik sahaja?
151. Sebab itu, Wanita UMNO mesti mengambil tanggungjawab yang lebih besar. Wanita bukan sekadar ibu kepada anak-anak di rumah. Wanita adalah Ibu Generasi.
152. Kita bukan hanya mahu anak-anak kita berjaya. Kita mahu memastikan jiwa mereka tidak hilang dalam perjalanan menuju kejayaan.
153. Atas kesedaran itu, kita akan memperkenalkan Sahabat Nurani. Sahabat Nurani akan memberikan sokongan kepada generasi muda melalui pendekatan kesihatan mental, psikologi, pendidikan emosi dan dakwah.
154. Kita mahu mereka mempunyai tempat untuk bercerita. Tempat untuk didengar. Dan tempat untuk mendapatkan bantuan.
155. Jangan tunggu sehingga tangisan menjadi tragedi. Jangan tunggu sehingga keluarga kehilangan insan yang mereka sayangi.
KHIDMAT MEMBINA KEPERCAYAAN
Sidang perwakilan yang saya hormati sekalian,
156. Bertahun-tahun Wanita UMNO dikenali melalui khidmat masyarakat. Kita hadir ketika rakyat susah. Kita turun ketika bencana melanda. Kita membantu tanpa menunggu nama dipanggil.
157. Hari ini, kita mahu mengangkat khidmat itu ke tahap yang lebih profesional.
158. Penerimaan Skuad Sayang 3K dalam kerangka Civil Defence Auxiliary (CDA) bersama Angkatan Pertahanan Awam Malaysia merupakan pengiktirafan terhadap kemampuan gerakan kita.
159. Ini satu perubahan besar. Daripada kebajikan kepada kesiapsiagaan. Daripada sekadar membawa bantuan kepada memiliki kemahiran.
160. Saya mahu setiap negeri dan seterusnya setiap bahagian mempunyai anggota Skuad Sayang 3K yang terlatih serta bersedia.
161. Kita bukan sekadar membina pasukan. Kita sedang membentangkan payung perlindungan di seluruh negara.
DAYA DIGITAL, JARINGAN KEPERCAYAAN
Sidang perwakilan yang saya hormati sekalian,
162. Khidmat membawa kita dekat dengan rakyat. Tetapi untuk bertindak lebih awal, kita mesti mampu membaca perubahan yang berlaku di sekeliling mereka.
163. Politik hari ini tidak lagi bergerak hanya di dewan, bilik gerakan dan pentas ceramah. Politik turut bergerak melalui telefon di tangan rakyat.
164. Ketika kita masih bermesyuarat untuk menyusun jawapan, orang lain mungkin sudah selesai menulis cerita tentang kita. Wanita UMNO tidak boleh memasuki medan baharu dengan cara kerja semalam.
165. Sebab itu, JR Digital mesti diperkukuh sebagai sistem amaran awal yang menghubungkan telinga Wanita di akar umbi dengan kepimpinan yang boleh bertindak.
166. Maklumat dari negeri dan bahagian tidak boleh mati di dalam fail. Ia mesti sampai kepada mereka yang boleh menyelesaikannya.
167. Sebelum sesuatu isu tular, Wanita selalunya sudah mendengarnya di pasar, di surau dan ketika menziarahi keluarga.
168. Jika masalah boleh diselesaikan, kita selesaikan. Jika dasar perlu diperbetulkan, kita bawa kepada kerajaan. Jika tuduhan itu tidak benar, kita jawab dengan fakta.
169. Kita juga mesti melahirkan lebih ramai jurucakap wanita yang memahami dasar, menguasai fakta dan berani mempertahankan parti.
170. Teknologi membantu kita membaca sentimen rakyat. Tetapi dibina melalui hubungan sesama manusia.
171. Sebab itu, kita mesti menggerakkan PR10 sebagai jaringan kepercayaan Wanita UMNO di akar umbi.
172. Melalui PR10, setiap anggota Wanita perlu mengenali sepuluh orang di sekelilingnya. Dengarkan masalah mereka. Fahami keluarga mereka. Bantulah sedaya yang kita mampu.
173. Jangan cari mereka hanya apabila kita memerlukan undi. Hadirlah lebih awal supaya apabila kita bercakap, mereka mempunyai sebab untuk mendengar.
174. JR Digital membantu kita membaca keresahan rakyat. PR10 memastikan kita hadir dan membina kepercayaan. Seorang demi seorang. Keluarga demi keluarga. Di situlah Gelombang Kepercayaan digerakkan.
MENANG KEPERCAYAAN, PIMPIN MASA DEPAN
Para perwakilan yang saya hormati sekalian,
175. Jam politik sudah berdetik. Melaka sedang menanti. Selepas itu, pilihan raya umum boleh datang pada bila-bila masa.
176. Masa tidak akan menunggu kita bersedia. Lawan tidak akanmenunggu kita selesai bermesyuarat. Rakyat pula tidak pernah berhenti menilai.
177. Pilihan raya akan datang bukan sekadar menentukan sama ada UMNO masih mampu menang.
178. Ia akan menentukan sama ada kita berjaya menukar peluang menjadi kepercayaan dan kepercayaan menjadi kepimpinan.
179. Kita boleh memenuhi jalan dengan bendera. Kita boleh menutup dinding dengan poster. Tetapi kalau kehidupan rakyat tidak berubah, semua itu hanyalah warna tanpa makna.
180. Sebab itu, Gelombang Kepercayaan bukan satu lagi program untuk kita lancarkan. Gelombang Kepercayaan ialah arah yang menyatukan seluruh gerak kerja Wanita.
181. Rumah Bangsa membuka pintu kepada mereka yang mahu kembali. Laluan 30 dan Talent Bank pula menyediakan barisan yang akan memimpin masa hadapan.
182. Voices of HER memastikan suara wanita didengar. Agenda ekonomi pula membantu memperkukuh kehidupan wanita dan keluarga.
183. Sahabat Nurani menjaga jiwa generasi. Skuad Sayang 3K membuktikan khidmat kita ketika rakyat memerlukan.
184. JR Digital membantu kita membaca keresahan lebih awal. PR10 memastikan hubungan dengan rakyat terus dijaga.
185. Semua gerakan ini tidak bergerak sendiri-sendiri. Semuanya mengalir ke satu muara, iaitu kepercayaan rakyat.
Para perwakilan sekalian,
186. Gelombang Kepercayaan tidak akan lahir daripada arahan di atas kertas. Ia hanya akan hidup apabila digerakkan oleh Wanita di lapangan.
187. Gerakkan di negeri. Hidupkan di bahagian. Bawa hingga ke cawangan.
188. Kita tidak mahu menunggu gelombang datang kepada kita. Kita mahu Wanita UMNO yang mencipta gelombang itu.
189. Sejarah telah membuktikan bahawa setiap kali UMNO diuji, Wanitanya tetap berdiri.
190. Sekarang tiba masanya kita membuktikan bahawa apabila masa depan UMNO perlu dibentuk, Wanita juga mampu memimpin.
191. Jangan hanya berdiri di belakang kemenangan. Marilah kita berdiri di hadapan perubahan.
192. Jangan tunggu masa depan datang kepada kita. Kitalah yang mesti mara untuk membentuknya.
193. Apabila sejarah UMNO membuka halaman baharu, biarlah tertulis dengan jelas bahawa Wanitanya bukan sekadar menyaksikan perubahan.
194. Wanitanya yang bangkit. Wanitanya yang memimpin.
Wanitanya yang menentukan masa depan!
Menang Kepercayaan!
Pimpin Masa Depan!
Wanita UMNO, mara ke hadapan!
Hidup Wanita!
Hidup Wanita!
Hidup Wanita!
Hidup UMNO!
Sekian,
Wabillahi Taufik Walhidayah, Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
Terima kasih.
