Tony Pua Perlu Jelaskan Sumber Minit Lembaga Pengampunan

Saya memandang serius penyebaran dokumen yang didakwa merupakan petikan minit Mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan ke-64 berkaitan pengampunan dan pelaksanaan tahanan rumah terhadap Datuk Seri Mohd Najib Razak.

Isu ini bukan sekadar berkaitan perbezaan pandangan politik mengenai Datuk Seri Najib Razak. Ia menyentuh persoalan yang jauh lebih besar, iaitu tatakelola dokumen rasmi kerajaan, ketelusan proses pentadbiran serta penghormatan terhadap Institusi Yang di-Pertuan Agong sebagai tonggak sistem Raja Berperlembagaan negara.

Saya ingin mempersoalkan bagaimana dokumen yang mempunyai tanda klasifikasi Rahsia dan Terbuka itu boleh berada dalam milikan pihak luar sebelum dipaparkan kepada umum.

Untuk makluman semua, Tony Pua, yang merupakan bekas Ahli Parlimen Damansara dan bukan anggota Lembaga Pengampunan, telah berkongsi petikan dokumen tersebut menerusi akaun Facebook beliau.

Justeru, beberapa persoalan wajar dijawab secara terbuka. Dari manakah dokumen tersebut beliau diperoleh? Siapakah yang membekalkannya? Adakah dokumen itu diserahkan melalui saluran rasmi? Apakah asas dan tujuan pendedahannya kepada umum?

Ini bukan tuduhan terhadap mana-mana pihak, tetapi persoalan asas yang perlu dijawab apabila dokumen berkaitan urusan rasmi sebuah institusi negara menjadi bahan perbincangan awam.

Lebih penting, kerajaan sendiri perlu menjelaskan status sebenar penyahklasifikasian dokumen tersebut.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, telah memaklumkan bahawa cadangan penyahklasifikasian minit berkenaan tidak dibentangkan dalam mesyuarat Kabinet pada 13 November 2026.

Persoalannya, jika proses penyahklasifikasian sedang atau telah dilaksanakan, siapakah pihak berkuasa yang meluluskannya? Bilakah keputusan tersebut dibuat? Apakah asas kuasa dan prosedur yang digunakan?

Adakah penyahklasifikasian itu meliputi keseluruhan minit mesyuarat atau hanya halaman tertentu?

Perkara ini perlu diperjelaskan berdasarkan Seksyen 2C Akta Rahsia Rasmi 1972 (Akta 88), yang memperuntukkan kuasa penyahklasifikasian kepada pihak berkuasa yang ditetapkan. Kita tidak boleh membuat kesimpulan bahawa sesuatu dokumen telah dibocorkan secara menyalahi undang-undang tanpa terlebih dahulu mengesahkan status dan proses penyahklasifikasiannya.

Pada masa yang sama, saya turut bimbang tentang persepsi dan naratif yang sedang terbentuk susulan pendedahan dokumen ini.

Apabila petikan minit mesyuarat dipaparkan kepada umum dengan penekanan terhadap pandangan Menteri daripada Dap dan Peguam Negara yang tidak bersetuju dengan cadangan tahanan rumah, apakah gambaran yang cuba dibentuk dalam pemikiran masyarakat?

Adakah pendedahan ini secara tersirat mahu membina persepsi bahawa Dap berada di pihak yang benar dan memperjuangkan prinsip, manakala Yang di-Pertuan Agong (YDPA) pula seolah-olah digambarkan sebagai pihak yang membuat keputusan bertentangan dengan pandangan kerajaan?

Jika itulah persepsi yang terbentuk, kita perlu melihatnya dengan penuh tanggungjawab. Perbezaan pandangan dalam mesyuarat Lembaga Pengampunan tidak seharusnya dimanipulasikan sehingga menimbulkan tanggapan bahawa terdapat pertentangan antara kerajaan dengan Institusi Yang di-Pertuan Agong.

Hakikatnya, Lembaga Pengampunan merupakan sebuah badan perlembagaan yang mempunyai peranan tersendiri dalam proses pertimbangan pengampunan. Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan kuasa pengampunan kepada Yang di-Pertuan Agong bagi Wilayah Persekutuan.

Setiap anggota Lembaga Pengampunan berhak mengemukakan pandangan dalam menjalankan tanggungjawab masing-masing. Namun, pandangan yang berbeza tidak boleh dijadikan alasan untuk mempertikaikan atau membina persepsi negatif terhadap institusi Raja Berperlembagaan.

Saya juga ingin mengingatkan bahawa Tony Pua perlu bertanggungjawab terhadap konteks dan cara beliau mempersembahkan dokumen tersebut kepada masyarakat. Mendedahkan petikan minit mesyuarat tanpa memastikan orang ramai memahami keseluruhan konteks boleh membuka ruang kepada tafsiran yang tidak seimbang dan polemik politik yang berpanjangan.

Saya mendesak kerajaan supaya memberikan penjelasan rasmi mengenai perkara berikut:

1. Status sebenar klasifikasi dan penyahklasifikasian minit Mesyuarat Lembaga Pengampunan ke-64.
2. Pihak yang memberikan kelulusan penyahklasifikasian serta tarikh dan asas kuasa yang digunakan.
3. Sama ada dokumen yang tersebar merupakan salinan lengkap, sahih dan sepadan dengan rekod rasmi.
4. Sumber dokumen yang diperoleh dan disebarkan kepada pihak luar serta sama ada prosedur berkaitan telah dipatuhi.
5. Sama ada kebenaran yang diperlukan telah diperoleh bagi pendedahan dokumen yang menyentuh urusan Lembaga Pengampunan dan Institusi Yang di-Pertuan Agong.

Saya tegaskan, mempertahankan Institusi Yang di-Pertuan Agong bukan bermaksud menolak ketelusan atau menghalang rakyat daripada mengetahui perkara yang berkepentingan awam. Namun, ketelusan mesti dilaksanakan mengikut Perlembagaan, undang-undang dan tatacara yang sah.

Kita boleh berbeza pandangan tentang politik. Kita boleh berbeza pendirian tentang Datuk Seri Najib Razak. Tetapi jangan sampai perbezaan politik menyebabkan institusi tertinggi negara dijadikan bahan percaturan atau alat membina persepsi yang boleh menjejaskan keyakinan rakyat terhadap sistem Raja Berperlembagaan.

Kerajaan Madani tidak boleh hanya bercakap tentang ketelusan dan akauntabiliti. Dalam isu sebesar ini, kerajaan mesti membuktikannya melalui penjelasan yang jelas, konsisten dan berlandaskan undang-undang.

Institusi Yang di-Pertuan Agong mesti dihormati. Perlembagaan mesti dipertahankan. Dan setiap pihak yang mengendalikan dokumen rasmi negara mesti bertanggungjawab terhadap amanah yang diberikan.

 

 

 

Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin
Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO