Dap: Buktikan Konsistensi Pertahan Sensitiviti Umat Islam, Bukan Sekadar Retorik
Saya memandang serius kenyataan Ahli Parlimen Kota Melaka, YB Khoo Poay Tiong yang mempersoalkan pelaksanaan arahan penutupan sementara premis perniagaan ketika waktu solat Jumaat di Terengganu.
Nampaknya, apabila tiba isu yang melibatkan kepentingan umat Islam, masih ada pemimpin yang begitu pantas menggunakan alasan kebebasan berniaga, keharmonian masyarakat majmuk dan hak golongan bukan Islam untuk mempertikaikan dasar yang telah sekian lama dilaksanakan di negeri berkenaan.

Untuk makluman YB Khoo, solat Jumaat bukan sekadar aktiviti mingguan atau amalan budaya masyarakat Melayu. Ia merupakan tuntutan agama yang jelas diperintahkan oleh Allah SWT menerusi Surah al-Jumu’ah, ayat 9.
Lebih menarik, isu ini bukanlah dasar baharu yang muncul semalam. Ia telah dilaksanakan sejak lebih sedekad lalu. Malah, Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) sendiri pernah menjelaskan bahawa arahan tersebut tidak melibatkan premis milik bukan Islam, tertakluk kepada ketetapan tertentu.
Justeru, sebelum mengangkat isu ini sebagai ancaman terhadap kebebasan masyarakat majmuk, eloklah memahami terlebih dahulu konteks, tujuan dan pelaksanaan dasar berkenaan.
Saya juga ingin mengingatkan DAP bahawa sensitiviti agama bukanlah sesuatu yang boleh dipilih mengikut keselesaan politik.
Ketika DAP bercakap tentang keharmonian, toleransi dan saling menghormati, prinsip yang sama juga perlu diterjemahkan melalui tindakan dan sikap pemimpin-pemimpinnya terhadap Islam.
Saya ingin mengemukakan satu persoalan kepada kepimpinan tertinggi DAP:
Sekiranya DAP benar-benar sebuah parti yang konsisten mempertahankan sensitiviti umat Islam, apakah tindakan disiplin yang akan diambil terhadap YB Khoo Poay Tiong? Adakah DAP bersedia mempertimbangkan tindakan paling tegas, termasuk pemecatan beliau daripada parti, sekiranya kenyataan tersebut didapati bercanggah dengan prinsip yang selama ini dilaungkan oleh DAP sendiri?
Jangan hanya berani bercakap tentang sensitiviti agama apabila ia menguntungkan imej politik parti. Jangan pula apabila melibatkan sensitiviti umat Islam, semuanya mahu diselesaikan dengan alasan perbezaan pandangan dan kebebasan bersuara.
Saya turut mengambil maklum teguran daripada Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, YB Adam Adli, serta teguran 13 pemimpin dan ahli akar umbi DAP sendiri terhadap kenyataan Khoo. Ini menunjukkan bahawa persoalan yang dibangkitkan bukan sekadar datang daripada parti lawan, malah turut menjadi perhatian dalam kalangan rakan politik sendiri.
Akhirnya, saya ingin tegaskan bahawa menghormati agama Islam bukan bermaksud menafikan hak masyarakat bukan Islam. Sebaliknya, keharmonian sebenar hanya dapat dibina apabila setiap pihak memahami dan menghormati hak, kepercayaan serta sensitiviti antara satu sama lain.
DAP tidak boleh selama-lamanya berselindung di sebalik slogan perpaduan. Rakyat berhak menilai sejauh mana prinsip yang dilaungkan itu benar-benar diamalkan.
Sekian.

MUHAMMAD NUR IMAN SHAZWAN BIN SUBRI
Pengerusi Putera UMNO Negeri Kedah
Ahli Jabhah Ilmuan Muda Malaysia
20 November 2026
