PAU 2026 : Bulatkan Tekad, Perkukuh Saf Perjuangan
KUALA LUMPUR, 10 Sept – Ketua UMNO Bahagian Iskandar Puteri, Datuk Mohammad Khairy A. Malik menyeru seluruh perwakilan bahagian itu yang menghadiri Perhimpunan Agung UMNO 2026 (PAU 2026) agar menjadikan perhimpunan sebagai medan memperkukuh kesatuan serta saf perjuangan parti.
Beliau berkata, kehadiran para perwakilan bukan sekadar memenuhi tanggungjawab sebagai peserta perhimpunan, sebaliknya membawa bersama amanah dan aspirasi ahli-ahli UMNO di akar umbi.
“Semoga perhimpunan kali ini menjadi medan untuk kita memperkukuh saf perjuangan, memperteguh kesatuan dan menyatukan tekad dalam membawa suara serta aspirasi rakyat.
“Kita hadir bukan sekadar sebagai perwakilan, tetapi membawa bersama amanah ahli-ahli UMNO di akar umbi,” katanya.
Beliau turut menyeru seluruh perwakilan agar meneruskan perjuangan dengan penuh keikhlasan, kesetiaan dan iltizam demi agama, bangsa dan tanah air.
Terdahulu, seluruh pimpinan dan perwakilan UMNO menghadiri Taklimat Presiden yang disampaikan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC KL), petang tadi.
Turut hadir Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan serta barisan pimpinan dan perwakilan UMNO dari seluruh negara.
Khairy turut mengucapkan selamat bersidang dan selamat berjuang kepada seluruh perwakilan UMNO Bahagian Iskandar Puteri yang hadir pada PAU 2026.- UMNO Online
