UMNO Tegas Pertahan Kuasa Pengampunan Yang Di-Pertuan Agong

KUALA LUMPUR, 9 Sept – UMNO menegaskan pendirian untuk terus mempertahankan Institusi Yang di-Pertuan Agong serta kuasa pengampunan yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, UMNO kesal dengan kenyataan Majlis Setiausaha Pakatan Harapan (PH) yang dilihat seolah-olah mempertikaikan kuasa pengampunan Yang di-Pertuan Agong.

Menurut beliau, kuasa tersebut merupakan hak prerogatif Seri Paduka Baginda yang jelas termaktub di bawah Perkara 42(1) Perlembagaan Persekutuan dan tidak sewajarnya dipertikaikan oleh mana-mana pihak.

“Jika PH boleh menyokong pengampunan yang diterima oleh Dato’ Seri Anwar Ibrahim walaupun beliau belum selesai menjalani hukuman penuh ketika itu, kenapa pula piawaian yang berbeza perlu dikenakan kepada pihak lain?” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Asyraf Wajdi menegaskan bahawa UMNO tidak berhasrat untuk mendahului pertimbangan Lembaga Pengampunan atau menuntut apa-apa keputusan tertentu.
Sebaliknya, katanya, apa jua keputusan yang dibuat melalui proses yang sah hendaklah dihormati oleh semua pihak.

“Berbeza dengan PH, UMNO tidak berhasrat mendahului pertimbangan Lembaga Pengampunan atau menuntut apa-apa keputusan tertentu.

“Apa jua keputusan yang dibuat melalui proses yang sah hendaklah dihormati oleh semua pihak,” katanya.

Beliau turut mendakwa tindakan terkini PH secara tidak langsung menyerlahkan pendirian sebenar gabungan berkenaan yang didakwa beberapa kali meremeh dan mempertikai Institusi Raja-Raja Melayu demi kepentingan politik.

Katanya, pendirian sedemikian jelas bertentangan dengan prinsip dan syarat yang telah dipersetujui bersama dalam perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan Malaysia.

“UMNO kekal teguh mendukung institusi Yang di-Pertuan Agong serta kuasa-kuasa Baginda.

“Sebarang usaha bagi menekan atau menanam prasangka buruk secara langsung atau tidak langsung terhadap institusi ini adalah satu bentuk pengkhianatan kepada Perlembagaan dan negara,” tegasnya lagi. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO