‘Rule of Law’ Tidak Boleh Ada Dua Piawaian
KUALA LUMPUR, 9 Sept – Kenyataan Majlis Setiausaha Pakatan Harapan (PH) bahawa individu yang telah disabitkan kesalahan perlu “menjalani sepenuhnya tempoh hukuman yang ditetapkan oleh mahkamah” tidak seharusnya ditafsirkan secara sempit sehingga mengetepikan mekanisme pengampunan yang turut diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan.
Ketua Penerangan UMNO Bahagian Johor Bahru, Ahmad Solehin Abd Ghani, berkata prinsip ‘rule of law’ mesti dihormati secara menyeluruh dan terpakai sama rata kepada semua pihak, tanpa mengira kedudukan atau kepentingan politik.

“Mahkamah wajib dihormati, tetapi proses pengampunan juga wajib dihormati kerana ia adalah sebahagian daripada kerangka Perlembagaan, bukannya proses di luar undang-undang.”
Menurut beliau, Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan mekanisme pengampunan, penangguhan dan peringanan hukuman, justeru tidak tepat untuk menggambarkan bahawa menghormati keputusan mahkamah semestinya bermaksud seseorang mesti menjalani keseluruhan hukuman asal.
Katanya, bagi Wilayah Persekutuan, Lembaga Pengampunan mempunyai komposisi yang ditetapkan oleh Perlembagaan dan proses tersebut sewajarnya diberikan ruang untuk berjalan tanpa didahului tekanan atau kesimpulan politik.
“Seperti ditegaskan Setiausaha Agung UMNO, Dr. Asyraf Wajdi Dusuki, kita tidak seharusnya mendahului pertimbangan Lembaga Pengampunan atau menuntut apa-apa keputusan tertentu. Hormati proses dan hormati apa juga keputusan yang dibuat secara sah,” katanya.
Ahmad Solehin yang juga pengamal undang-undang turut mengingatkan PH supaya konsisten dengan prinsip yang pernah mereka pertahankan, termasuk apabila Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima pengampunan pada 2018 sebelum menyelesaikan keseluruhan tempoh hukumannya.
“Jika proses pengampunan diterima sebagai proses yang sah di sisi Perlembagaan ketika melibatkan pemimpin sendiri, prinsip yang sama mesti terpakai apabila melibatkan pihak lain.”
Beliau menegaskan perjuangan membanteras rasuah dan penghormatan terhadap keputusan mahkamah tidak boleh dijadikan alasan untuk mewujudkan dua piawaian dalam menghormati proses Perlembagaan.
“’Rule of law’ bermaksud undang-undang yang sama, proses yang sama dan penghormatan yang sama tanpa mengira siapa individu yang terlibat.
“Hormati mahkamah. Hormati Perlembagaan. Hormati proses. Jangan ada dua piawaian. Apa juga keputusan yang dibuat melalui proses yang sah, prinsip ‘rule of law’ menuntut kita menghormatinya secara konsisten,” katanya lagi. – UMNO Online
