Penyatuan Melayu – Membaca Isyarat Presiden UMNO

TAKLIMAT Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 wajar dibaca melangkaui persoalan strategi pilihan raya atau percaturan kerjasama antara parti.

Di sebalik seruan memperkukuh solidariti, memperkemas jentera dan mengembalikan keyakinan rakyat, terdapat persoalan lebih besar yang perlu direnungkan: apakah sudah tiba masanya orang Melayu kembali mencari titik-titik persamaan setelah terlalu lama dipisahkan oleh garis kepartian?

Penyatuan Melayu tidak seharusnya bermaksud semua Melayu mesti berada dalam satu parti. Itu bukan sahaja tidak realistik dalam sebuah demokrasi, malah tidak semestinya sihat.

Yang diperlukan ialah kesediaan mencari persefahaman mengenai perkara-perkara asas, khususunya Islam, institusi Raja-Raja Melayu, Perlembagaan, pendidikan, ekonomi, mobiliti sosial dan masa depan generasi Melayu.

Realiti demografi menjadikan persoalan ini penting. Statistik rasmi pada suku pertama 2026 menunjukkan Melayu membentuk 58.3 peratus penduduk Malaysia, manakala Bumiputera lain 12.3 peratus, Cina 22.1 peratus dan India 6.5 peratus.

Maknanya mudah: kestabilan masyarakat Melayu mempunyai implikasi besar terhadap kestabilan negara, tetapi Malaysia tetap sebuah negara majmuk yang masa depannya perlu dibina bersama.

Sebab itu tuduhan bahawa gagasan penyatuan Melayu dengan sendirinya bersifat rasis perlu dinilai secara matang.

Rasisme berlaku apabila kekuatan sesuatu kelompok dibina dengan menafikan hak, maruah dan kewujudan kelompok lain.

Penyatuan Melayu yang berteraskan ilmu, ekonomi, pendidikan dan kekuatan institusi tidak sepatutnya menghakis walau seinci pun hak sah masyarakat Cina, India, Orang Asli ataupun Bumiputera Sabah dan Sarawak.

Semangat inilah sebenarnya dekat dengan sejarah pembentukan negara. Kemerdekaan tidak lahir daripada satu kaum berjalan sendirian.

Ia terbina melalui rundingan dan persefahaman yang kemudiannya diterjemahkan melalui kerangka Perlembagaan Persekutuan yang menyentuh kedudukan Islam, Raja-Raja Melayu, bahasa Melayu dan kedudukan istimewa Melayu serta Bumiputera berjalan bersama perlindungan kepentingan sah masyarakat lain.

Lebih enam dekad kita hidup dalam kerangka tersebut. Tidak semuanya sempurna, tetapi Malaysia kekal membangun sebagai sebuah masyarakat majmuk.

Misalnya, mengambil realiti sosial yang wujud di Negeri Sembilan sendiri adalah menarik untuk direnungkan.

Banci 2020 menunjukkan masyarakat India membentuk 14.3 peratus penduduk negeri, komposisi tertinggi antara negeri-negeri Malaysia.

Ini mengingatkan kita bahawa politik Melayu yang matang, khususnya di Negeri Sembilan, tidak boleh dibangunkan melalui pengasingan masyarakat lain.

Kekuatan Melayu dan keharmonian masyarakat majmuk perlu bergerak seiring.

Justeru, penyatuan Melayu yang dibicarakan menjelang PAU 2026 perlu mempunyai wajah baharu.

Melayu mesti menyokong usaha membina kekuatan bangsanya, tetapi kekuatan itu jangan diukur melalui kemampuan mendominasi orang lain.

Kehebatan Melayu mesti dikembalikan melalui ilmu, ekonomi, adab, integriti dan keberanian memimpin secara adil.

Jika Melayu bersatu untuk membenci, negara akan kehilangan sesuatu. Tetapi jika Melayu bersatu untuk memperbaiki kelemahan sendiri, memperkukuh ekonomi, meninggikan pendidikan dan membina kepimpinan yang amanah, seluruh Malaysia memperoleh manfaatnya.

Inilah barangkali makna penyatuan yang perlu dibawa pulang daripada PAU 2026: Melayu yang kuat tidak perlu menakutkan sesiapa; Melayu yang kuat seharusnya mampu memberi keyakinan kepada semua.

Dalam erti kata lain, Penyatuan Melayu bukan tentang siapa yang mahu dikalahkan. Ia tentang apa yang mahu dibina semula, yakni muafakat, maruah, ilmu, kekuatan ekonomi dan keupayaan memimpin Malaysia yang dikongsi bersama.


Datuk Zakaria Dullah
Timbalan Ketua UMNO Bahagian Simpang Renggam

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO