PRN Melaka: Rauf Diberi Mandat Runding Kerjasama, Zahid Nasihat Pilih Rakan Boleh Beri Kemenangan

MELAKA, 7 Sept – Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memberikan mandat kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh untuk merundingkan kerjasama dengan mana-mana pihak bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka akan datang.

Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata rakan kerjasama yang dipilih haruslah mempunyai sifat jujur serta ikhlas bagi memastikan BN terus menerajui pentadbiran negeri pada penggal hadapan.

“Datuk Rauf, saya beri mandat berunding elok-elok, pilih partner (rakan) yang taat setia, yang boleh memberikan kemenangan pada kita (BN).

“Pilih partner yang ikhlas dan jujur dengan kita, yang bercakap di belakang sama, di depan sama, bukan yang cakap depan lain, belakang buat lain,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutupan Karnival Anak Muda Negeri Melaka 2026 yang turut dihadiri Ab Rauf di tapak parkir Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) Ayer Keroh di sini semalam.

Ahmad Zahid pada masa sama mengingatkan BN Melaka mengekalkan 21 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dimenangi parti itu pada pilihan raya lalu.

Pada PRN Melaka diadakan 2021, BN menang 21 kerusi, manakala Pakatan Harapan (PH) memperoleh lima kerusi dan Perikatan Nasional (PN) dua kerusi.

Penggal DUN Melaka akan berakhir Disember ini. – BERNAMA

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO