Baju Oren OKS: Cadangan Pengerusi JKmR Diberi Perhatian
KUALA LUMPUR, 5 Sept – Cadangan Ahli Parlimen Kuala Pilah selaku Pengerusi Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKmR), Dato’ Adnan Abu Hassan terhadap pemakaian baju oren Orang Kena Siasat (OKS) telah mendapat perhatian.
Menerusi hantaran di laman Facebooknya, beliau menzahirkan rasa syukur apabila Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah bertindak mengeluarkan kenyataan untuk menggantung pemakaian baju oren bagi OKS.

“Saya gembira membaca kenyataan media SPRM hari ini. Terima kasih. Alhamdulillah,” katanya.
Sebelum ini, beliau berpandangan bahawa pemakaian baju oren terhadap saksi atau individu yang disyaki melakukan kesalahan di bawah SPRM wajar dikaji semula.
Ini kerana katanya, ia boleh memberi persepsi seolah-olah seseorang telah dihukum sebelum dibuktikan bersalah.
“Semasa bersiaran di MACC fm ini, saya ditanya selaku Pengerusi JKmR akan beberapa penambahbaikan yang bakal dicadang kepada Perdana Menteri.
“Saya berpandangan pemakaian baju oren kepada saksi atau orang yang disyaki di bawah kesalahan SPRM harus dikaji semula. Saya menyatakan perlakuan itu umpama menjatuhkan hukuman kepada seseorang sebelum beliau dibuktikan bersalah,” katanya.
Ujarnya, terdapat kes individu yang dipakaikan baju oren akhirnya dilepaskan dan dibebaskan, namun imej mereka telah terjejas pada pandangan keluarga serta masyarakat.
“Malahan ada kes di mana mereka yang dipakaikan baju oren ini akhirnya dilepas dan dibebaskan, tapi imej telahpun terjejas pada pandangan keluarga dan masyarakat.
“Prinsip undang-undang jenayah amat jelas, ‘One is innocent until proven otherwise’. Seseorang itu tidak bersalah sehingga dibuktikan sebaliknya. Moga cadangan ini diambil serius oleh kerajaan dan SPRM,” katanya lagi.
SPRM dalam kenyataan semalam memaklumkan OKS kini dibenarkan memakai pakaian biasa ketika dibawa ke mahkamah, manakala pakaian lokap hanya terpakai sepanjang tempoh mereka berada dalam tahanan di lokap. – UMNO Online
