UMNO, Pas Diharap Teruskan Usaha Penyatuan Ummah
KUALA LUMPUR, 4 Sept – Kerjasama antara dua parti terbesar orang Melayu dan Islam, UMNO dan Pas, terus diharapkan dapat direalisasikan demi kepentingan rakyat serta penyatuan ummah.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata apa yang penting dalam usaha berkenaan ialah keikhlasan dan kepercayaan antara kedua-dua pihak yang berteraskan prinsip serta panduan wahyu Ilahi.

“Insya-Allah rakyat memang mengharapkan dua parti terbesar orang Melayu dan Islam ini dapat berpakat dan bekerjasama. Yang penting keikhlasan dan kepercayaan kedua-dua pihak bertunjangkan prinsip dan panduan Wahyu Ilahi,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.
Beliau berkata demikian ketika berkongsi pertemuannya dengan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang, yang menyatakan kesediaan Pas untuk menghadiri Perhimpunan Agung UMNO yang dijadualkan berlangsung minggu depan.
“Perhimpunan UMNO minggu depan Pas akan hadir, insya-Allah!” kata Abdul Hadi kepada beliau.
Dalam pada itu, Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, turut menegaskan kepentingan memastikan usaha penyatuan ummah dapat direalisasikan.
“Insya-Allah kali ini kena pastikan penyatuan ummah benar-benar jadi,” katanya.
Dr Asyraf mewakili Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, menghadiri Muktamar Tahunan Pas kali ke-72 yang berlangsung di Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (PUTIK), Pengkalan Chepa, hari ini.
Kehadiran beliau pada muktamar berkenaan dilihat sebagai antara perkembangan yang mencerminkan keterbukaan dalam hubungan antara UMNO dan Pas, khususnya dalam membincangkan agenda penyatuan ummah. – UMNO Online
