Pilihan Raya PBT Boleh Cetus Politicking, Jejas Perpaduan Kaum
KUALA LUMPUR, 4 Sept — Cadangan untuk menghidupkan semula pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT) perlu dinilai secara menyeluruh kerana dikhuatiri membuka ruang kepada politicking berlebihan yang akhirnya boleh menjejaskan perpaduan kaum serta kestabilan negara.
Veteran UMNO, Tan Sri Mohd Yussof Latiff berkata, pengalaman sejarah pilihan raya PBT menunjukkan bahawa mekanisme berkenaan pernah dilaksanakan sebelum ia dibubarkan bagi mempercepatkan proses pembangunan dan mengurangkan kegiatan politik yang tidak produktif.
“Pilihan raya PBT pernah diadakan, namun selepas 1964 sistem ini diubah dan akhirnya pilihan raya PBT dibubarkan bagi mempercepatkan proses pembangunan kerana terlalu banyak politicking boleh membuang masa untuk membicarakan perkara remeh-temeh.
“Selain itu, kempen pilihan raya turut menjadi tumpuan dan penggunaan wang secara berleluasa, sedangkan prestasi perkhidmatan belum tentu bertambah baik,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Menurut beliau, isu mengembalikan pilihan raya PBT telah dibangkitkan sejak 2006 dan sehingga kini terus mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan pemimpin politik, penganalisis serta masyarakat.
Beliau berkata, kebimbangan terhadap pilihan raya PBT bukan semata-mata berkaitan soal politik, sebaliknya turut melibatkan aspek keharmonian kaum dan kestabilan sosial.
“Pilihan raya PBT berisiko membangkitkan politik identiti dan perkauman bandar, selain membawa implikasi kewangan yang besar serta berpotensi menjadi pembaziran,” katanya.
Mohd Yussof turut memaklumkan bahawa pendirian pelbagai pihak terhadap isu berkenaan adalah berbeza, dengan terdapat pihak yang melihatnya sebagai usaha memperkukuh demokrasi tempatan dan semak imbang, manakala sebahagian yang lain bimbang ia boleh meningkatkan polarisasi kaum.
Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa usaha meningkatkan ketelusan dan kecekapan PBT tidak semestinya perlu dilakukan melalui pilihan raya.
“Transparency dalam PBT perlu ditingkatkan bukan melalui pilihan raya tetapi melalui tatakelola pentadbiran dan pengurusan yang cekap, telus dan bertanggungjawab.
“Mekanisme untuk semua ini telah ada, cuma pelaksanaannya perlu dikukuhkan dengan telus dan dilaksanakan oleh mereka yang jujur dan bertanggungjawab,” katanya.
Beliau berkata, masyarakat kini sudah berdepan dengan kegiatan politik yang begitu banyak melalui pilihan raya umum dan negeri, justeru penambahan satu lagi lapisan pilihan raya dikhuatiri hanya meningkatkan politicking tanpa memberikan jaminan bahawa mutu perkhidmatan PBT akan bertambah baik.
“Cukuplah, ada acara lain untuk menguatkan pentadbiran PBT melalui ketulusan undang-undang dan pelaksanaan yang berkesan,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berpandangan fokus perlu diberikan kepada pengukuhan tatakelola, integriti, kecekapan pengurusan dan akauntabiliti PBT supaya kepentingan rakyat terus menjadi keutamaan tanpa menjadikan pentadbiran kerajaan tempatan sebagai medan persaingan politik yang berlebihan. – UMNO Online
