Noraini Santuni, Dengar Denyut Nadi Wanita UMNO Kedah
KUALA LUMPUR, 4 Sept – Ketua Wanita UMNO Malaysia, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad telah berkesempatan untuk menyantuni dan mendengar denyut nadi Wanita UMNO Kedah pada Khamis.
Menerusi hantaran di laman Facebooknya, beliau berpandangan bahawa pertemuan tersebut memberi ruang untuk mengeratkan hubungan di antara pemimpin dan akar umbi.

“Sebelum bergerak pulang ke Kuala Lumpur, saya mengambil kesempatan untuk meluangkan sedikit masa minum petang bersama kepimpinan Wanita UMNO Negeri Kedah.
“Dalam suasana santai, dapat bertanya khabar, berkongsi cerita dan mendengar perkembangan serta denyut nadi Wanita UMNO di Kedah.
“Pertemuan sebegini sentiasa memberi ruang untuk kita terus mengeratkan hubungan dan memahami suara serta harapan di peringkat akar umbi,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berharap agar semangat dan perjuangan Wanita UMNO dapat terus diperkukuhkan.
“Insya-Allah, kita akan bertemu lagi minggu hadapan di Pusat Dagangan Dunia (WTC) sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026.
“Semoga pertemuan kita nanti terus memperkukuh semangat dan perjuangan Wanita UMNO untuk bersama-sama memberikan yang terbaik,” katanya lagi.
Terdahulu, beliau yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi telah mengadakan lawatan ke Makmal Global Testing and Consultancy for Rubber (G-TACR) di Sungai Petani, Kedah.

“Saya bersama Pengurusan Tertinggi KPK berkesempatan mengadakan lawatan ke Makmal G-TACR di Sungai Petani, Kedah. Lawatan ini memberi kami peluang untuk melihat sendiri kemudahan, keupayaan dan peranan yang dimainkan oleh G-TACR dalam aspek pengujian, penyelidikan serta perkhidmatan teknikal berkaitan industri getah negara.
”Industri getah Malaysia mempunyai sejarah panjang dan peranan yang besar dalam ekonomi negara. Namun, untuk terus kekal relevan dan berdaya saing, kita perlu sentiasa bergerak ke hadapan, meningkatkan standard di samping memastikan produk juga perkhidmatan yang dihasilkan mampu memenuhi tuntutan pasaran semasa.
“Justeru, pengukuhan ekosistem penyelidikan dan pengujian seperti yang dilaksanakan di G-TACR amat penting dalam menyokong usaha kita untuk melahirkan industri getah lebih berkualiti, berteknologi tinggi dan berdaya saing di peringkat global.
“Insya-Allah, KPK akan terus memberikan perhatian kepada aspek inovasi, penyelidikan dan pembangunan teknologi sebagai antara pemangkin utama untuk memperkukuh masa depan industri getah negara,” katanya lagi. – UMNO Online
