Jangan Kelirukan Peruntukan Dengan ‘Overspend’ – Razlan
KUALA LUMPUR, 4 Sept — Bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng didakwa masih keliru dalam membezakan antara peruntukan asal, peruntukan tahunan, peruntukan dipinda dan perbelanjaan sebenar kerajaan.
Setiausaha Politik Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), Datuk Mohd Razlan Muhammad Rafii berkata, dakwaan bahawa KKDW telah “berbelanja melebihi peruntukan” adalah tidak tepat kerana setiap pelaksanaan projek pembangunan tertakluk kepada tatacara kewangan dan kelulusan kerajaan.
Menurut beliau, angka sekitar RM1 bilion bagi Program Jalan Luar Bandar (JALB) yang disebut Guan Eng merupakan peruntukan tahunan dan bukannya keseluruhan nilai projek yang telah diluluskan kerajaan.

“Projek pembangunan bukan seperti membeli barang secara tunai dan selesai dalam satu tahun. Ada projek yang berjalan dua, tiga malah lima tahun. Apabila projek telah diluluskan, SST telah dikeluarkan dan kerja telah bermula, komitmen pembayaran akan terus berjalan pada tahun-tahun berikutnya,” katanya dalam satu kenyataan.
Razlan berkata, pada 2023, JALB bermula dengan peruntukan sekitar RM1.1 bilion sebelum diselaraskan mengikut proses kewangan kerajaan kepada sekitar RM1.85 bilion, dengan perbelanjaan sebenar sekitar RM1.84 bilion.
“Pada 2024, peruntukan selepas penyelarasan sekitar RM2.02 bilion dengan perbelanjaan sekitar RM2.00 bilion, manakala pada 2025 pula peruntukan sekitar RM2.27 bilion dan perbelanjaan juga sekitar RM2.27 bilion,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO menegaskan, berdasarkan angka tersebut, perbelanjaan sebenar bagi ketiga-tiga tahun berkenaan tidak melebihi peruntukan yang telah dipinda, sebaliknya penyelarasan dibuat bagi memenuhi komitmen pembangunan yang telah diluluskan.
Katanya, penyelarasan peruntukan dalaman atau NOC yang dibenarkan Kementerian Ekonomi merupakan sebahagian daripada proses kewangan kerajaan dan bukannya tindakan mana-mana Menteri membelanjakan wang sesuka hati.
“Kalau setiap kali berlaku pindahan peruntukan hendak dilabel sebagai ‘overspending’, mungkin Guan Eng boleh bertanya juga kepada semua Menteri lain sama ada kementerian mereka pernah melakukan penyelarasan peruntukan. Atau hanya apabila KKDW melakukannya, tiba-tiba ia menjadi satu kesalahan?” soalnya.
Mengulas isu kontraktor pula, Razlan berkata kerja yang telah dilaksanakan dan tuntutan yang sah perlu diselesaikan mengikut kontrak, terutama apabila ia turut melibatkan kontraktor serta masyarakat luar bandar.
“Kalau beliau mempunyai bukti bahawa mana-mana kontrak diberikan secara tidak teratur, kemukakan bukti dan biarlah pihak berkuasa menyiasat. Jangan semberono menuduh KKDW overspend atau membandingkan perkara ini dengan projek terowong,” katanya.
Ujarnya, sekiranya benar terdapat perbelanjaan dibuat tanpa kelulusan atau melampaui kuasa kewangan yang sah, perkara itu boleh disemak berdasarkan rekod peruntukan, waran dan sistem kewangan kerajaan.
“Kalau tak pandai, jangan senang-senang tuduh kementerian overspend,” katanya lagi. – UMNO Online
