Dr Asyraf Wakili Presiden UMNO Ke Muktamar Pas, Perkukuh Permufakatan
PENGKALAN CHEPA, 4 Sept — Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki mewakili Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi telah menghadiri Muktamar Tahunan Pas kali ke-72 yang berlangsung di Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (PUTIK), di sini hari ini.
Kehadiran tersebut mencerminkan komitmen untuk terus memperkukuh permuafakatan antara dua parti Melayu terbesar, UMNO dan Pas, dalam usaha memperjuangkan agama, membela kepentingan bangsa serta memastikan masa depan negara terus terpelihara.

“Semoga permuafakatan antara dua parti Melayu terbesar UMNO dan Pas ini terus diperkukuh dan memberi manfaat yang besar dalam memperjuangkan agama, membela kepentingan bangsa serta memastikan masa depan negara terus terpelihara,” kata beliau menerusi hantaran di laman Facebooknya.
Selain Dr Asyraf, turut hadir ialah Ketua UMNO Kelantan, Datuk Seri Ahmad Jazlan Yaakub serta Ahli Majlis Kerja Tertinggi, Datuk Seri Alwi Che Ahmad.
Semalam Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh hadir bersama 25 orang barisan kepimpinan Pemuda UMNO ke Muktamar Dewan Pemuda Pas manakala Pengerusi Majlis Ulama UMNO, Datuk Dusuki Ahmad menghadiri Muktamar Dewan Ulama Pas. – UMNO Online
