Syahbuddin Terus Bawa Suara, Keperluan Rakyat Galas

KUALA LUMPUR, 3 Sep – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas, Datuk Mohd Syahbuddin Hashim terus membawa suara dan keperluan rakyat untuk diberi perhatian menerusi agenda pembangunan setempat.

Beliau yang juga Timbalan Ketua UMNO Bahagian Gua Musang berkata, menerusi Mesyuarat Tindakan Pembangunan Daerah (JTPD) Gua Musang Bilangan 6 Tahun 2026, beliau membawa pelbagai isu berkaitan rakyat untuk mendapatkan tindakan susulan daripada pihak berkaitan.

“Dalam mesyuarat lalu, Abe Din membangkitkan soal Pembangunan Kuala Betis. Alhamdulillah, hari ini kita dapat mendengar taklimat daripada pihak perancang mengenai hala tuju pembangunan kawasan tersebut.

“Kuala Betis adalah pintu masuk ke pedalaman Gua Musang. Ia perlu dirancang dengan baik dan tersusun, sesuai dengan kedudukannya sebagai nadi penghubung masyarakat di kawasan pedalaman.

“Hari ini juga Abe Din membawa surat sokongan Menteri Besar Kelantan berkaitan cadangan Pusat Belia dan Komuniti Wilayah Kelantan Selatan untuk perhatian dan pertimbangan pihak PTG.

“Cadangan ini telah diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, sekitar tiga tahun lalu. Lama dah kita tunggu. Kalau tidak disusuli betul-betul, bimbang pengumuman tinggal pengumuman dan akhirnya hanyut begitu sahaja. Sebab itu kita kejar. Sampai jadi kenyataan,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Sementara itu Syahbuddin turut membangkitkan perkembangan GIATMARA Prima yang telah diumumkan pada tahun 2024.

Menurut beliau, perkara itu penting memandangkan mengikut perancangan, tahun 2026 sepatutnya menjadi tahun bermulanya pembinaan.

“Insya-Allah, kita nantikan maklum balas MARA dalam mesyuarat akan datang. Bagi Abe Din, apa yang dibawa ke meja mesyuarat mesti ada susulannya. Rakyat tidak boleh selamanya disuruh menunggu sebuah pengumuman menjadi kenyataan.

“Pembangunan tidak selesai dengan kata-kata. Ia mesti dikejar, dipantau dan diperjuangkan sehingga manfaatnya benar-benar sampai kepada rakyat. Kita kejar, susuli, usahakan sampai jadi,” ujar beliau. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO