RCI TH: Menteri Bertanggungjawab Dari PH Juga Patut Disiasat

KUALA LUMPUR, 3 Sept – Pengarah Komunikasi UMNO Negeri Kedah, Syed Mohd Johan Rizal Syed Unan Mashri berpandangan bahawa Menteri Hal Ehwal Agama yang bertanggungjawab menyelia Tabung Haji (TH) ketika zaman Pakatan Harapan (PH) juga patut disiasat.

Ini kerana katanya, bekas Timbalan Menteri Hal Ehwal Agama, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki tidak sepatutnya dijadikan sasaran kerana beliau tidak mempunyai sebarang kuasa dalam membuat keputusan.

“Sepatutnya Mujahid yang disiasat, bukan Dr Asyraf Wajdi. Angkatan Muda Keadilan (AMK) jangan cepat sangat petik nama orang kalau tak faham dulu siapa sebenarnya yang ada kuasa.

“Dr Asyraf masa itu Timbalan Menteri. Timbalan Menteri bukan boleh sesuka hati masuk campur pentadbiran TH, jauh sekali menentukan pelaburan. Hadir mesyuarat atau mewakili Menteri tak sama dengan menjadi orang yang buat keputusan.

“Kalau betul nak cari siapa patut ditanya, tengok siapa pegang portfolio. Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) sendiri merekodkan Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa sebagai Menteri Hal Ehwal Agama yang menyelia dan mengawasi TH dari Julai 2018 hingga Mac 2020,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.

Beliau yang juga Naib Ketua UMNO Bahagian Alor Setar berkata, telah berlaku penstrukturan besar TH dalam tempoh tersebut.

“Dalam tempoh itulah berlaku penstrukturan besar TH. Aset bernilai pasaran sekitar RM9.7 bilion dipindahkan kepada Urusharta Jamaah Sdn Bhd (UJSB) pada nilai RM19.9 bilion.

“TH pula terima sukuk dan tunai. Kerajaan kemudian perlu menyediakan komitmen besar untuk menampung kekurangan penebusan sukuk. RCI sendiri mencadangkan struktur sukuk itu diperbaiki.

“Saya tak kata Mujahid bersalah. Tapi kalau AMK betul-betul ikhlas soal integriti, jangan Timbalan Menteri zaman BN sahaja dikejar, Menteri yang pegang tanggungjawab masa keputusan besar zaman PH dibuat tak nampak.

“Kalau ada bukti terhadap Dr Asyraf, bentang. Kalau tidak ada, jangan lempar nama untuk membina persepsi busuk! Siasat ikut kuasa, keputusan dan tanggungjawab sebenar bukan ikut warna dan nafsu politik,” katanya lagi.

Terdahulu, kepimpinan AMK mendesak Dr Asyraf melepaskan jawatan sebagai Pengerusi MARA kononnya atas alasan integriti susulan dakwaan beliau terpalit dengan isu Lembaga TH sewaktu memegang portfolio Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) sebelum ini.

Isu berkenaan turut memuncak apabila perwakilan dalam Kongres Nasional PKR sebelum ini secara terbuka menuntut agar jawatan Pengerusi MARA diserahkan kepada pemimpin parti itu, dengan alasan perlunya nafas baharu bagi memacu reformasi institusi teras Melayu berkenaan. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO