Perbezaan Politik Tidak Wajar Jadikan Kita Musuh – Aliff Hilmi

KUALA LUMPUR, 3 Sept — Perbezaan politik tidak seharusnya menjadi penghalang kepada usaha menyatukan kekuatan demi kepentingan agama, bangsa dan tanah air, demikian ditegaskan EXCO Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Aliff Hilmi.

Beliau berkata, penyatuan antara UMNO dan Pas tidak bermaksud mana-mana pihak perlu mengorbankan prinsip, identiti atau perjuangan masing-masing, sebaliknya mencari titik persamaan dalam perkara yang menjadi kepentingan bersama.

“Kita pernah bersama dan kita juga pernah berpisah. Namun perbezaan politik tidak seharusnya menjadikan kita musuh selama-lamanya,” katanya.

Menurut beliau, UMNO kekal dengan prinsip dan perjuangannya, begitu juga Pas, namun kedua-dua parti mempunyai ruang untuk bekerjasama apabila menyentuh soal agama, bangsa dan tanah air.

“Penyatuan bukan bermaksud UMNO perlu menjadi Pas atau Pas perlu menjadi UMNO. Kita kekal dengan prinsip dan perjuangan masing-masing, tetapi apabila berbicara soal agama, bangsa dan tanah air, pasti ada titik yang boleh menyatukan kita,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia hadir ke Muktamar Dewan Pemuda Pas Malaysia Kali Ke-67, yang dilihat sebagai satu langkah membina jambatan persefahaman antara generasi muda kedua-dua parti.

Aliff berkata, kesediaan untuk duduk semeja dan bersalaman tidak harus dilihat sebagai tanda menyerah atau menggadaikan prinsip, sebaliknya merupakan keberanian untuk membuka ruang kepada persefahaman yang lebih besar.

“Bersalaman bukan bererti menyerah. Duduk semeja bukan bererti menggadaikan prinsip. Hari ini mungkin sekadar satu pertemuan, tetapi setiap perjalanan yang besar sentiasa bermula dengan satu langkah,” katanya.

Tambah beliau, perkara yang berbeza perlu terus dihormati, manakala persamaan yang ada wajar dimanfaatkan untuk memperjuangkan kepentingan umat, bangsa dan negara.

“Yang berbeza kita hormati. Yang sama kita perjuangkan. Jika penyatuan itu demi agama, bangsa dan tanah air, saya memilih untuk membuka pintu, bukan menutupnya,” tegasnya.

Beliau turut menekankan bahawa generasi muda mempunyai peranan penting dalam membina masa depan politik negara yang lebih matang, khususnya dengan mengutamakan kepentingan rakyat dan negara berbanding perbezaan kepartian. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO