Mana Menteri? Shaiful Hazizy Persoal KSP Jadi ‘Perisai’ Isu Kementerian
KUALA LUMPUR, 3 Sept – Ketua Penerangan UMNO Negeri Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin mempersoalkan tindakan Kerajaan MADANI menggunakan pegawai kanan kerajaan untuk menjawab isu yang sepatutnya dijelaskan sendiri oleh menteri berkaitan.
Beliau berkata, terdahulu Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Komunikasi, Datuk Abdul Halim Hamzah diarahkan menjawab isu jemputan Tun Dr Mahathir Mohamad ke perarakan hari Kemerdekaan, sedangkan perkara tersebut sepatutnya dipertanggungjawabkan kepada Menteri Komunikasi, YB Fahmi Fadzil.

“Hari ini (semalam) Ketua Setiausaha Perbendaharaan (KSP) pula diminta untuk menjadi perisai menteri-menteri tertentu bagi menjawab persoalan peruntukan yang ditahan dan disekat kepada KKDW.
“Namun ada beberapa persoalan tertentu harus dijawab oleh Menteri Kewangan 1 atau Menteri Kewangan 2,” katanya.
Shaiful Hazizy mengemukakan lima persoalan berhubung kenyataan KSP mengenai peruntukan kepada Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).
Pertama, katanya, KSP menyatakan RM1.9 bilion daripada RM2.1 bilion telah diluluskan kepada KKDW sehingga Jun 2026.
“Soalannya, berapa peruntukan KKDW dapat semasa pembentangan Bajet 2026? Adakah RM2.1 bilion atau RM12.4 bilion?”
Kedua, beliau mempersoalkan kenyataan KSP bahawa tiada sekatan perbelanjaan kepada KKDW.
“Betulkah tiada sekatan? Tolong semak balik penyaluran (Q – Quarter) Q1 dan Q2 kepada KKDW dan agensi di bawah KKDW.
“Saya difahamkan ada sekatan di antara 10 peratus hingga 30 peratus kepada agensi di bawah KKDW. Q3 dengar kata belum masuk.”
Ketiga, katanya, KSP menyatakan KKDW berbelanja lebih daripada peruntukan asal.
“Mohon MOF senaraikan perbelanjaan apa yang telah dilakukan begitu besar dan jika KKDW tidak mendapat kelulusan MOF, bagaimana KKDW boleh belanja lebih daripada apa yang ditetapkan?”
Keempat, Shaiful Hazizy mempersoalkan kenyataan KSP bahawa MOF telah memberikan bajet tambahan sebanyak RM300 juta kepada KKDW.
“Bagaimana peruntukan tambahan boleh diberikan sedangkan masih ada baki peruntukan RM200 juta (RM2.1 bilion – RM1.9 bilion) KKDW yang belum disalurkan?”
Kelima, beliau turut mempersoalkan kenyataan KSP bahawa MOF terpaksa menggunakan penjimatan daripada kementerian lain untuk menampung komitmen tinggi KKDW.
“Komitmen apa yang KKDW buat begitu tinggi? Adakah masa screening bajet, review bajet dan lain-lain proses MOF tidak nasihati KKDW?”
Dalam pada itu, Shaiful Hazizy berkata Menteri Kewangan tidak perlu menghantar KSP untuk menjawab kesemua persoalan tersebut.
“Tak perlu ada perisai atau ruang vakum nak jawab isu yang ditimbulkan oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Presiden sebuah parti yang telah memungkinkan Perdana Menteri sekarang angkat sumpah setelah sekian lama menunggu,” katanya lagi. – UMNO Online
