Kerajaan Negeri Sembilan Umum Pengecualian Lesen Penjaja, Tangguh Bayaran Tambahan Konservasi

SEREMBAN, 3 Sept – Kerajaan Negeri Sembilan mengambil dua keputusan penting yang memberi keutamaan kepada kepentingan serta kebajikan rakyat negeri ini.
Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim berkata, keputusan itu dibuat menerusi Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMK) yang berlangsung semalam.

Menurut beliau, mulai 1 Januari 2027, Kerajaan Negeri bersama Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) akan melaksanakan Inisiatif Pengecualian Bayaran Lesen Penjaja bagi membantu meringankan beban golongan penjaja dan peniaga kecil.

“Alhamdulillah, Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMK) telah membuat dua keputusan penting yang mengambil kira suara serta kepentingan rakyat Negeri Sembilan,” katanya.

Beliau berkata, pengecualian bayaran lesen berkenaan melibatkan pelbagai kategori penjaja termasuk penjaja pasar tani.

Katanya, ia turut melibatkan penjaja kereta tolak, berpayung, berjentera dan food truck.

Dalam perkembangan sama, Kerajaan Negeri turut memutuskan untuk menangguhkan serta-merta pelaksanaan bayaran tambahan konservasi di Taman Eko Rimba di seluruh Negeri Sembilan.

Keputusan berkenaan memberi ruang kepada rakyat untuk terus menikmati keindahan alam semula jadi Negeri Sembilan tanpa pelaksanaan bayaran tambahan konservasi tersebut.

“Semoga keputusan ini dapat membantu meringankan beban penjaja dan peniaga kecil dan dapat merancakkan ekonomi setempat serta memberi lebih banyak ruang kepada rakyat untuk menikmati keindahan alam semula jadi Negeri Sembilan,” katanya lagi. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO