Johor Pastikan Projek Tertangguh Diselesaikan
JOHOR BAHRU, 3 Sept – Kerajaan Negeri Johor memberi perhatian serius terhadap isu-isu tertangguh melibatkan pelaksanaan projek Kerajaan Persekutuan di negeri ini bagi memastikan kemudahan yang telah diluluskan benar-benar dapat dinikmati rakyat.
Exco Kerajaan Negeri Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor berkata, mesyuarat penyelarasan yang dipengerusikannya malam tadi meneliti satu persatu isu berbangkit melibatkan projek di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).
Menurut beliau, setiap projek yang telah diluluskan dan mempunyai peruntukan tidak seharusnya dibiarkan berlarutan tanpa penyelesaian sehingga menjejaskan manfaat yang sepatutnya diterima rakyat.

“Bagi saya, apabila sesuatu projek sudah diluluskan dan peruntukan sudah tersedia, tidak sepatutnya ada perkara yang dibiarkan berlarutan tanpa penyelesaian.
“Kita mahu semua pihak duduk semeja, kenal pasti masalah, jelas siapa yang perlu bertindak dan tetapkan tempoh supaya setiap isu dapat diselesaikan,” katanya.
Antara projek yang diberi perhatian termasuk Program Residensi Rakyat (PRR) Larkin, Program Perumahan Rakyat (PPR) Masai, Program Perumahan Transit Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M) Pengerang dan Rumah Malaysia (RSMA) Sembrong.
Turut diberi perhatian ialah projek menaik taraf Balai Bomba dan Penyelamat Kluang serta Larkin, kerja-kerja menaik taraf Gelanggang Futsal dan kemudahan sokongan di Pangsapuri Kurnia, Larkin serta projek berkaitan pengurusan sisa pepejal di Muar, Mersing dan Pekan Nenas.
Mohd Jafni yang juga ADUN Bukit Permai berkata, antara perkara yang masih memerlukan penyelarasan ialah kelulusan permit, utiliti air dan elektrik, urusan tanah serta laluan masuk, kerja-kerja infrastruktur dan sokongan bagi mendapatkan Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC).
“Ada projek yang sudah berada pada tahap kemajuan yang tinggi, tetapi masih memerlukan beberapa tindakan teknikal dan pentadbiran sebelum dapat disiapkan sepenuhnya dan dimanfaatkan rakyat.
“Sebab itu kita mahu semua agensi yang terlibat termasuk Pejabat Daerah, Bahagian Kerajaan Tempatan, Pejabat Setiausaha Kerajaan Johor, PBT, Perbadanan Kemajuan Perumahan Negeri Johor (PKPJ), Koridor Utiliti Johor (KUJ), Ranhill SAJ, TNB, JKR, Pejabat Tanah serta jabatan teknikal duduk bersama dan menyelesaikan perkara yang masih berbaki,” katanya.
Beliau menegaskan, isu teknikal yang boleh diselesaikan di peringkat agensi perlu diputuskan segera, manakala perkara yang memerlukan keputusan dasar hendaklah diangkat untuk tindakan lanjut tanpa menunggu terlalu lama.
“Kita tidak mahu sesuatu isu hanya berpindah daripada satu meja ke satu meja tanpa keputusan.
“Kalau boleh selesai di peringkat teknikal, kita selesaikan segera. Kalau perlukan keputusan dasar, kita angkat dengan cepat,” katanya.
Menurut beliau, pendekatan berkenaan turut selaras dengan penegasan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi supaya setiap projek yang telah diluluskan diterjemahkan kepada hasil yang boleh dirasai rakyat.

Katanya, kejayaan sesebuah projek bukan sekadar diukur melalui laporan kemajuan atau jumlah mesyuarat yang diadakan, sebaliknya berdasarkan sejauh mana masalah rakyat dapat diselesaikan.
“Ukuran akhirnya bukan berapa banyak mesyuarat yang kita adakan, tetapi berapa banyak masalah rakyat yang berjaya kita selesaikan.
“Projek perumahan, kemudahan awam, balai bomba, kemudahan komuniti dan pengurusan sisa bukan sekadar angka dalam laporan. Di hujung setiap projek itu ada keluarga yang menunggu rumah, masyarakat yang memerlukan kemudahan lebih baik dan rakyat yang mahu melihat pembangunan sampai kepada mereka,” katanya.
Mohd Jafni berkata, Kerajaan Negeri akan meneruskan pemantauan dan tindakan susulan secara rapat sehingga semua perkara yang masih berbaki dapat diselesaikan.
“Kerajaan Negeri Johor akan terus menjadi pemudah cara kepada projek Persekutuan yang memberi manfaat kepada Bangsa Johor.
“Bila melibatkan kepentingan rakyat, kita tidak mahu hanya bercakap tentang masalah. Kita mahu cari jalan, buat keputusan dan pastikan kerja siap,” katanya lagi. – UMNO Online
