Isu Peruntukan… Usaha Calar Reputasi KKDW Pimpinan Ahmad Zahid?

KUALA LUMPUR, 3 Sept – Kenyataan Kementerian Kewangan (MOF) dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan (KSP) yang mendakwa Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) terlebih belanja dengan peruntukan yang diluluskan dilihat tidak menjawab isu sebenar yang dibangkitkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ketua UMNO Bahagian Batu, Datuk Gulam Muszaffar Gulam Mustakim berkata, isu yang dibangkitkan oleh Timbalan Perdana Menteri bukan mengenai perbelanjaan melebihi peruntukan, sebaliknya berkaitan komitmen bayaran kepada kontraktor bagi projek-projek KKDW yang telah diluluskan oleh pihak MOF sebelum ini.

Menurut beliau, sebarang projek kerajaan yang melibatkan kementerian atau agensi kerajaan perlu mendapat kelulusan peruntukan daripada MOF sebelum proses atau tawaran tender diteruskan.

“Bagaimana MOF boleh mengatakan KKDW terlebih belanja walhal mereka sendiri yang kawal perbelanjaan bagi setiap kementerian dan agensi kerajaan.
“Kata mudah, MOF yang lulus, MOF juga persoalkan tindakan sendiri kenapa lulus dan terlebih belanja,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas isu bayaran kepada kontraktor yang telah lama tertangguh dan dikatakan disekat pembayarannya.

Katanya, apabila Timbalan Perdana Menteri menyentuh mengenai bayaran kepada kontraktor, tugas utama MOF seharusnya mencari penyelesaian bagi memastikan bayaran dapat dibuat, bukannya mempersoalkan KKDW sebagai terlebih berbelanja.

“Bilamana TPM Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyentuh tentang bayaran kepada kontraktor yang lama tertangguh dan disekat bayarannya, tugas utama MOF ialah mencari duit untuk bayar bukan persoalkan KKDW belanja lebih,” katanya.

Dalam pada itu, Gulam turut mencabar MOF dan KSP supaya membentangkan perbelanjaan bagi setiap kementerian, khususnya kementerian yang diterajui menteri daripada Pakatan Harapan, bagi melihat sama ada wujud keadaan terlebih belanja seperti yang didakwa berlaku terhadap KKDW.

Beliau berkata, secara jujur, beliau melihat isu tersebut lebih kepada usaha untuk mencalarkan reputasi KKDW yang diterajui oleh Ahmad Zahid selaku Presiden UMNO.

“Secara jujur saya nampak isu ini lebih ingin mencalarkan reputasi KKDW yang diterajui oleh YAB DSZH Presiden UMNO,” katanya.

Gulam turut menyifatkan cara MOF menjawab kenyataan balas Timbalan Perdana Menteri sebagai tidak profesional dan tidak beretika kerana urusan bayaran serta waran peruntukan adalah di bawah pengurusan MOF dan bukannya KKDW.

“Akhir kata, cara MOF yang menjawab kenyataan balas dari YAB DS TPM sebagai satu kenyataan yang tidak professional dan beretika kerana segala bayaran dan waran peruntukan diuruskan oleh MOF bukannya KKDW.

“So MOF stop playing victim,” katanya lagi. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO