Isu KKDW: Jangan Jadikan Peruntukan Kementerian Sebagai Tekanan Politik
KUALA LUMPUR, 3 Sept — Isu peruntukan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) tidak boleh dilihat sekadar pertikaian antara dua kementerian, sebaliknya perlu diberi perhatian serius kerana melibatkan projek yang memberi manfaat secara langsung kepada rakyat.
Setiausaha Penerangan UMNO Malaysia, Datuk Suraya Yaacob berkata, apa yang dibangkitkan oleh Menteri KKDW, Dato’ Seri Ahmad Zahid Hamidi mempunyai merit yang tinggi, terutamanya apabila melibatkan projek langsung kepada rakyat.
“Apabila bayaran projek pembangunan luar bandar terganggu, kesannya rantaian terus bergerak ke bawah. Kontraktor kecil tersepit, pekerja dan pembekal menunggu bayaran, aliran tunai terputus, fasa kerja baharu tidak dapat dimulakan dan akhirnya keseluruhan projek lewat disiapkan,” katanya.

Menurut beliau, yang menanggung kesan terbesar adalah rakyat di kawasan luar bandar yang telah dijanjikan kemudahan dan pembangunan oleh Kerajaan.
Beliau berkata, lebih membimbangkan apabila banyak projek ini berada di kawasan yang diwakili UMNO kerana kegagalan projek untuk disiapkan tepat pada masanya memberi cerminan kepada prestasi menteri yang bertanggungjawab, dalam kes ini Menteri KKDW yang juga merupakan Presiden UMNO.
“Maka, Kementerian Kewangan perlu menjelaskan dengan lebih mendalam: adakah apa yang berlaku ini semata-mata persoalan kewangan dan pentadbiran atau sudah mula dicampuri pertimbangan politik menjelang PRN Melaka?” katanya.
Suraya yang juga Ketua UMNO Bahagian Pendang turut menegaskan agar kementerian yang diterajui UMNO tidak dijadikan medan tekanan politik dengan menyekat peruntukan atas pelbagai alasan teknikal.
“Jangan pula projek rakyat dijadikan sebagai sasaran untuk memaksa UMNO menerima sesuatu formula gabungan pilihan raya,” katanya.
Beliau berkata, UMNO menyertai Kerajaan Perpaduan untuk memastikan pentadbiran negara dapat diteruskan sehingga tamat penggal dan prinsip yang sama mesti dihormati oleh semua pihak dalam Kerajaan.
“Cukup-cukuplah berpolitik. Rakyat tidak memilih kerajaan untuk melihat kementerian saling menekan antara satu sama lain.
“Lunaskan tanggung jawab. Siapkan projek rakyat. Bayar kerja yang telah dilaksanakan dan laksanakan janji kepada rakyat sehingga ke penghujung penggal.
“Rakyat menilai siapa yang membuat kerja,” katanya lagi.
Selasa lalu, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid ‘hot’ berhubung isu kelewatan pembayaran kepada kontraktor yang melaksanakan projek pembangunan di bawah KKDW, sehingga menjejaskan kelangsungan operasi mereka.
Semalam Kementerian Kewangan (MoF) memaklumkan bahawa seluruh peruntukan yang diperuntukkan bagi KKDW sudah disalurkan sepenuhnya dan kekangan proses pembayaran kontraktor ketika ini disebabkan dana berkenaan sudah dibelanjakan sepenuhnya.
Namun demikian, hal tersebut disangkal kerana dianggap tidak tepat dan tidak menggambarkan keseluruhan keadaan sebenar yang berlaku. – UMNO Online
