Berbeza Politik Tetap Kukuh Demi Melayu Dan Islam – Azmawi Fikri

KUALA LUMPUR, 3 Sept – Kehadiran kepimpinan Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia ke Muktamar Dewan Pemuda Pas disifatkan sebagai isyarat positif kepada pembentukan budaya politik baharu yang lebih matang, inklusif dan berteraskan nilai.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Kelantan, Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani berkata, pertemuan antara kepimpinan dua sayap pemuda parti itu membuktikan perbezaan fahaman politik tidak seharusnya menjadi penghalang kepada hubungan baik, silaturahim dan kerjasama dalam perkara yang menyentuh kepentingan bangsa serta negara.

Ujarnya, perkembangan tersebut mencerminkan kesediaan generasi muda politik untuk mengetepikan perbezaan dalam perkara tertentu, selain mengutamakan sikap saling menghormati dalam membina landskap politik yang lebih sihat.

“Kehadiran kepimpinan Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia ke Muktamar Dewan Pemuda Pas Malaysia mencerminkan satu era baharu politik yang lebih inklusif dan berasaskan nilai.

“Pertemuan di pentas persidangan ini membuktikan bahawa perbezaan pandangan politik boleh disalurkan secara profesional, berhemah dan saling menghormati.

“Mesej mesra yang ditampilkan oleh kedua-dua kepimpinan belia ini menjadi iktibar kepada seluruh masyarakat bahawa kepelbagaian fahaman tidak menjejaskan hubungan silaturahim sesama bangsa dan negara,” katanya kepada UMNO Online.

Azmawi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nenggiri berkata, pendekatan tersebut penting bagi memastikan politik anak muda tidak terus dibelenggu budaya permusuhan dan perpecahan yang akhirnya hanya merugikan kepentingan lebih besar.

“Perbezaan pendirian politik merupakan perkara biasa dalam sebuah demokrasi, namun ia tidak seharusnya menghalang usaha untuk mencari titik persamaan, khususnya dalam isu berkaitan kepentingan Melayu dan Islam.

“Politik tidak semestinya dibina atas perseteruan. Kita boleh berbeza pendirian dan pendekatan, tetapi pada masa yang sama masih mampu duduk bersama, berkomunikasi dan menghormati antara satu sama lain. Yang lebih penting ialah mencari titik persamaan dan membina kekuatan bersama demi kepentingan agama, bangsa dan negara,” katanya lagi.

Beliau berkata, semangat keterbukaan yang ditunjukkan oleh kepimpinan Pemuda UMNO dan Dewan Pemuda Pas juga wajar diteruskan sebagai asas kepada pembentukan generasi politik yang lebih matang dan bertanggungjawab.

“Diharapkan agar semangat keterbukaan ini menjadi batu asas kepada landskap politik tanah air yang lebih berpadu dan bertumpukan kepada agenda Melayu dan Islam.

“Anak muda Melayu dan Islam perlu melihat persamaan sebagai kekuatan, bukannya menjadikan perbezaan sebagai alasan untuk terus berpecah,” ujarnya lagi. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO