SWaM 2026: Usaha Bina Bandar Berdaya Tahan Perlu Kerjasama Semua Pihak

KUALA LUMPUR, 2 Sept – Usaha membina sebuah bandar berdaya tahan memerlukan kerjasama semua pihak, kata Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad.

Menerusi hantaran di laman Facebooknya, Abdul Rahman memaklumkan beliau telah merasmikan National Conference on Stormwater Management (SWaM 2026) pada Rabu.

“Pagi ini saya merasmikan National Conference on SWaM 2026 yang membawa tema ‘Inspired by Nature, Engineered for Resilience’ di Sunway Putra Hotel, Kuala Lumpur.

“Persidangan ini adalah antara platform penting untuk kita memperkukuh pendekatan pengurusan air larian bandar, khususnya dalam menghadapi cabaran perubahan iklim, pembangunan pesat dan peningkatan keperluan penduduk.

“Kita perlu bergerak daripada pendekatan konvensional kepada penyelesaian yang lebih menyeluruh dengan menggabungkan penyelesaian berasaskan alam semula jadi (nature-based solutions), inovasi kejuruteraan, analisis data, pemodelan ramalan, kecerdasan buatan (AI) serta teknologi digital,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO berkata, matlamat akhir adalah untuk memastikan pembangunan negara kekal mampan pada masa akan datang.

“Usaha membina bandar yang lebih berdaya tahan bukan tanggungjawab kerajaan semata-mata. Ia memerlukan kerjasama erat antara kerajaan, industri, akademia, komuniti dan semua pihak berkepentingan.

“Matlamat akhir adalah jelas mengurangkan risiko banjir, melindungi keselamatan dan kesejahteraan rakyat serta memastikan pembangunan negara kekal mampan untuk generasi akan datang,” katanya lagi. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO