Melaka Sedia Subsidi Servis Motosikal, Bantu Golongan P-Panggilan – Ab Rauf
ALOR GAJAH, 2 Sept – Melaka bakal memperkenal inisiatif khas subsidi penyelenggaraan motosikal bagi membantu meringankan beban kewangan lebih 3,000 penghantar makanan (p-panggilan) di seluruh negeri itu.
Ketua Menteri Ab Rauf Yusoh berkata peruntukan bagi inisiatif berkenaan, akan dibawa ke dalam mesyuarat Exco minggu ini dan diumumkan secara rasmi minggu hadapan.

“Subsidi tersebut akan melibatkan bengkel penyelenggaraan motosikal terpilih, yang bakal dilantik di setiap DUN bagi membolehkan golongan p-panggilan mendapatkan perkhidmatan penyelenggaraan pada kadar lebih rendah.
“Penghantar makanan yang membuat penyelenggaraan motosikal akan menerima subsidi dianggarkan sekitar 20% hingga 30% daripada kos keseluruhan. Apapun, kebajikan mereka sentiasa dalam perhatian kerajaan negeri dan inisiatif ini selaras dengan konsep Melaka Sayang Rakyat (MeSRa),” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas turun padang menyelami kehidupan harian penunggang p-panggilan serta merasai pengalaman menjadi penghantar makanan di sekitar Pengkalan Balak dan pekan Masjid Tanah.
Ab Rauf berkata inisiatif itu merupakan antara usaha kerajaan negeri menghargai sumbangan golongan p-panggilan yang memainkan peranan penting dalam memudahkan urusan masyarakat menerusi platform digital.
Beliau berkata dia sendiri berpeluang merasai pengalaman menerima pesanan dan menghantar barangan kepada pelanggan hari ini, bagi memahami cabaran serta rutin harian golongan berkenaan dalam mencari rezeki untuk keluarga.
“Kita akan maklumkan kelak untuk pendaftaran bengkel-bengkel yang berkelayakan bersama pihak penyedia perkhidmatan seperti Grab, Foodpanda dan Shopee,” katanya.
Dalam pada itu, Ab Rauf berkata kerajaan negeri turut meneliti kaedah memperluas pencaruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) kepada golongan p-panggilan, sebagai antara usaha meningkatkan perlindungan kebajikan mereka.
Beliau berkata perkembangan ekonomi digital telah mengubah gaya hidup, kaedah perniagaan dan corak pekerjaan masyarakat, sekali gus menjadikan p-panggilan antara sektor yang semakin penting dalam ekosistem ekonomi digital.

“Memang bagus, dunia digital berubah, masa berubah, gaya hidup berubah, kaedah perniagaan dan ekonomi juga berubah.
“Jadi itu semua saya ambil, saya azamkan dan saya akan teliti beberapa kajian yang saya buat, bagi membantu mereka yang sedang berusaha menyara keluarga daripada kaedah p-hailing,” katanya.
Ab Rauf berkata usaha memantapkan ekosistem p-panggilan itu, turut selari dengan hasrat menjadikan Melaka sebagai negeri digital, termasuk menyediakan sistem alamat rasmi di kawasan kampung yang masih belum mempunyai alamat secara rasmi. – BERNAMA
