Kebajikan, Kesejahteraan Rakyat Terus Diberi Perhatian – Wan Rosdy

KUALA LUMPUR, 2 Sept – Usaha untuk memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat terus diberi perhatian akan dilaksanakan secara berterusan, kata Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Menerusi hantaran di laman Facebooknya, beliau memaklumkan sebanyak RM469,828 telah disalurkan kepada 31 wakil dan penerima untuk membantu meringankan beban mereka.

“Pagi ini saya memulakan tugasan dengan menyerahkan cek sumbangan Kerajaan Negeri Pahang di Wisma Sri Pahang.

“Sebanyak RM469,828 telah disalurkan kepada 31 wakil dan penerima bagi membantu meringankan keperluan serta menyokong usaha yang memberi manfaat kepada rakyat,” katanya.

Beliau yang juga Naib Presiden UMNO berkata, setiap sumbangan membawa amanah dan tanggungjawab supaya sentiasa cakna serta membantu rakyat memerlukan.

“Bagi saya, setiap sumbangan yang disampaikan bukan sekadar nilai ringgit, tetapi membawa bersama amanah dan tanggungjawab Kerajaan Negeri untuk terus cakna, mendengar dan membantu rakyat yang memerlukan.

“Insya-Allah, usaha untuk memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat terus diberi perhatian akan kita laksanakan secara berterusan,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Wan Rosdy turut memaklumkan bahawa beliau telah menyerahkan surat lantikan kepada Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang (PKNP) yang baharu.

“Sebelum memulakan Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) hari ini, saya menyerahkan surat lantikan kepada En. Airulamri bin Amran sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang (PKNP) yang baharu. Tahniah dan selamat menjalankan amanah.

“Saya yakin dengan pengalaman dan kepimpinan yang dibawa, beliau mampu meneruskan kecemerlangan PKNP serta memperkukuh peranannya sebagai pemacu pembangunan dan pertumbuhan ekonomi negeri,” katanya lagi. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO