Kalau Waran MOF Yang Keluarkan, Macam Mana KKDW Boleh “Terlebih Belanja”?
KUALA LUMPUR, 2 Sept – Persoalan mengenai dakwaan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) “terlebih belanja” perlu dijelaskan berdasarkan dokumen, angka dan kronologi supaya rakyat dapat memahami kedudukan sebenar peruntukan kementerian berkenaan.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin berkata, dalam pengurusan kewangan kerajaan, kementerian tidak boleh sesuka hati berbelanja kerana terdapat peruntukan, kelulusan dan waran yang perlu dipatuhi.
Menurut beliau, waran peruntukan dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan (MOF) dengan jumlah dan tujuan perbelanjaan yang ditetapkan.
“Sebab itu apabila timbul dakwaan bahawa KDW telah ‘terlebih berbelanja’, saya rasa rakyat berhak mendapat penjelasan yang lebih lengkap,” katanya.

Beliau yang juga Ketua Penerangan UMNO Pahang mempersoalkan sekiranya MOF yang meluluskan dan mengeluarkan waran peruntukan, di bahagian mana sebenarnya KKDW dikatakan terlebih belanja.
“Adakah KDW membelanjakan wang melebihi jumlah dalam waran? Adakah terdapat perbelanjaan yang dibuat tanpa waran?
“Atau waran sebenarnya telah dikeluarkan, komitmen telah dibuat berdasarkan kelulusan tersebut, tetapi dana atau aliran tunai belum disalurkan sepenuhnya?” katanya.
Shahaniza berkata, ketiga-tiga keadaan berkenaan tidak sama dan perkara itu perlu dijelaskan secara terperinci kepada rakyat.
“Tiga keadaan ini tidak sama. Dan rakyat tidak sepatutnya dibiarkan memahami semuanya hanya melalui satu ungkapan mudah, ‘KKDW terlebih belanja’,” katanya.
Beliau turut membangkitkan persoalan mengenai sebahagian projek KKDW yang dilaksanakan melalui agensi teknikal seperti Jabatan Kerja Raya (JKR).
“Lebih-lebih lagi apabila sebahagian projek KKDW turut dilaksanakan melalui agensi teknikal seperti JKR.
“Kalau benar tiada kelulusan atau peruntukan, bagaimana sesuatu projek boleh sampai kepada proses tender, pelantikan kontraktor dan pelaksanaan?”
Sehubungan itu, beliau berpandangan isu berkenaan tidak perlu dijawab dengan retorik, sebaliknya dokumen berkaitan perlu dikemukakan untuk membolehkan rakyat menilai berdasarkan fakta.
“Buka dokumen, tunjukkan waran yang berkaitan. Berapa jumlah yang diluluskan? Berapa jumlah sebenar yang dibelanjakan? Berapa jumlah yang telah disalurkan?
“Dan kalau benar terdapat perbelanjaan tanpa waran atau melebihi waran, nyatakan yang mana satu. Barulah rakyat boleh menilai berdasarkan fakta,” katanya.
Shahaniza turut mengimbau polemik besar sebelum ini termasuk isu Tabung Haji yang menurutnya menunjukkan keperluan kepada dokumen, angka dan kronologi yang boleh diperiksa apabila terlalu banyak kenyataan dan tafsiran berlegar.
“Saya teringat pengajaran daripada polemik-polemik besar sebelum ini termasuk isu Tabung Haji iaitu apabila terlalu banyak kenyataan dan tafsiran berlegar, akhirnya yang diperlukan masyarakat ialah dokumen, angka dan kronologi yang boleh diperiksa,” katanya.
Beliau menegaskan perkara itu bukan soal mempertahankan mana-mana pihak atau menuduh sesiapa, sebaliknya berkaitan soal akauntabiliti.
“Ini bukan soal mempertahankan sesiapa. Ini juga bukan soal menuduh sesiapa. Ini soal akauntibilti,” katanya.
Menurut beliau, sekiranya KKDW melakukan kesalahan, perkara itu perlu ditunjukkan dengan jelas, manakala jika waran telah dikeluarkan tetapi isu sebenar berkaitan penyaluran dana atau komitmen kewangan, perkara itu juga perlu dijelaskan secara jujur.
“Kalau KKDW salah, tunjukkan di mana salahnya. Kalau waran telah dikeluarkan tetapi isu sebenarnya berkaitan penyaluran dana atau komitmen kewangan, jelaskan juga perkara itu dengan jujur,” katanya.
Shahaniza berkata, dalam soal wang rakyat, penggunaan satu-satu istilah boleh membentuk persepsi yang besar dan persepsi tidak seharusnya menggantikan fakta.
“Kerana dalam soal wang rakyat, satu perkataan boleh membentuk persepsi yang sangat besar. Dan persepsi tidak sepatutnya menggantikan fakta.”
Beliau sekali lagi mengemukakan persoalan berhubung asas dakwaan KKDW “terlebih belanja” sekiranya MOF merupakan pihak yang meluluskan dan mengeluarkan waran peruntukan.
“Jika MOF yang meluluskan dan mengeluarkan waran peruntukan, atas asas apakah KDW dikatakan ‘terlebih belanja’?
“Tunjukkan angka, tunjukkan waran, tunjukkan kronologi. Biar dokumen yang bercakap,” katanya lagi. – UMNO Online
