Jaga Diri, Jaga Keluarga Ketika Kualiti Udara Menurun

KOTA KINABALU, 2 Sept – Orang ramai di Sabah dinasihatkan supaya mengutamakan keselamatan diri dan keluarga susulan beberapa kawasan di negeri itu merekodkan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) pada tahap tidak sihat.

Ketua UMNO Sabah merangkap Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Jafry Ariffin, berkata keadaan kualiti udara di seluruh negeri sedang dipantau rapi dengan kerjasama agensi kerajaan berkaitan bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan rakyat terus terpelihara.

Berdasarkan bacaan pada 1 September 2026 jam 5 petang, Kota Kinabalu mencatat IPU tertinggi iaitu 177, diikuti Kimanis (166), Keningau (165), Politeknik Kota Kinabalu (159) dan Tawau (153), yang kesemuanya berada pada kategori tidak sihat, sementara Sandakan merekodkan bacaan 93, iaitu pada tahap sederhana.

“Keselamatan dan kesejahteraan rakyat Sabah, pengunjung serta warga industri pelancongan kekal menjadi keutamaan,” demikian mesej utama yang ditekankan Jafry dalam kenyataan berhubung perkembangan kualiti udara di negeri itu.

Beliau turut menasihatkan penduduk dan pengunjung supaya hanya merujuk kepada bacaan rasmi IPU serta mematuhi nasihat kesihatan yang dikeluarkan pihak berkuasa.

Dalam keadaan kualiti udara yang kurang baik, orang ramai khususnya golongan yang terjejas oleh pencemaran udara disaran mengambil langkah berjaga-jaga dan mengurangkan aktiviti luar sekiranya perlu.

Pada masa sama, pengusaha pelancongan terutama yang mengendalikan aktiviti luar turut diminta mengambil langkah sewajarnya serta menyesuaikan operasi mengikut keadaan kualiti udara semasa.

Jafry berkata, kementeriannya akan terus berhubung rapat dengan agensi berkaitan dan memberikan perkembangan terkini sekiranya keadaan memerlukan. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO