Malaysia Milik Kita Semua

1. Pada 31 Ogos ini, kita memperingati Hari Kebangsaan dan Hari Sabah — dua peristiwa penting untuk kita menghayati sejarah, perjalanan serta masa depan yang ingin kita bina bersama.

2. Bagi kita di Sabah, Hari Sabah mempunyai makna yang tersendiri. Ia mengingatkan kita tentang sejarah, identiti dan perjalanan Sabah menuju pembentukan Malaysia.

3. Malaysia tidak pernah dibina untuk satu kaum, satu agama, satu wilayah atau satu kelompok politik sahaja. Negara ini milik semua rakyat Malaysia. Setiap komuniti mesti merasakan bahawa mereka mempunyai tempat, suara dan kepentingan dalam masa depan negara.

4. Kepelbagaian adalah kekuatan kita. Melayu, Cina, India, Kadazan-Dusun, Bajau, Murut, Dayak, Iban, Bidayuh, Melanau serta pelbagai komuniti lain telah bersama-sama menyumbang kepada pembinaan Malaysia yang kita kenali hari ini.

5. Sebagai rakyat Sabah, kita menghargai identiti, sejarah dan hak kita. Pada masa yang sama, kita percaya kepada sebuah Malaysia yang kukuh, di mana setiap komuniti dan wilayah saling menghormati serta bergerak maju bersama.

6. Kita juga harus sentiasa ingat bahawa Malaysia bukan hanya milik generasi hari ini. Kita hanyalah pemegang amanah yang bertanggungjawab memelihara dan memperkukuh negara ini untuk anak-anak serta generasi akan datang.

7. Malaysia yang kita wariskan kepada mereka mestilah lebih bersatu, adil, makmur dan yakin dengan masa depannya — sebuah negara yang meraikan kepelbagaian, bukan membiarkan perbezaan memecahbelahkan kita.

8. Pembinaan negara adalah suatu perjalanan yang berterusan. Tanggungjawab kita bukan sekadar mengenang sejarah, tetapi memastikan asas yang kita bina hari ini terus kukuh untuk generasi selepas kita.
9. Pada 31 Ogos ini, marilah kita memperbaharui tekad untuk membina Malaysia yang benar-benar milik semua — sebuah negara yang boleh dibanggakan dan dianggap sebagai rumah bersama oleh setiap rakyat Malaysia, tanpa mengira latar belakang atau dari mana mereka berasal.

Selamat Hari Kebangsaan. Selamat Hari Sabah.

Oleh: DATUK SERI SALLEH SAID KERUAK

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO