75,000 Rakyat Banjiri Klebang, Serlah Semangat Perpaduan Melaka

KLEBANG, 1 Sept – Lebih 75,000 rakyat membanjiri Klebang pada kemuncak Sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Melaka 2026 semalam, sekali gus mencerminkan semangat patriotisme dan perpaduan rakyat yang terus subur di negeri itu.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, beliau berasa bangga dan sebak melihat kehadiran rakyat Melaka serta pengunjung dari seluruh negara yang bersama-sama memeriahkan sambutan berkenaan.

Menurut beliau, sepanjang tiga hari penganjuran, lebih 150,000 pengunjung hadir ke Klebang bagi menyertai pelbagai program sempena Sambutan Hari Kebangsaan Ke-69.

“Tiada kata yang mampu menggambarkan rasa bangga dan sebak saya melihat ‘lautan manusia’ membanjiri Klebang.

“Seawal pagi lagi, rakyat Melaka dan pengunjung dari seluruh pelosok negara hadir bersama-sama, membawa satu semangat sempena Sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Melaka 2026,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi kenyataan yang dikongsikan selepas kemuncak sambutan Hari Kebangsaan semalam.

Ab Rauf berkata, pelbagai pengisian sepanjang tiga hari sambutan termasuk Melaka Berselawat, Karnival CIMIC, Sambutan Ambang Merdeka dan perarakan Hari Kebangsaan berjaya menjadikan Klebang sebagai tumpuan rakyat.

Katanya, kemuncak sambutan pada 31 Ogos menyaksikan penyertaan 12,000 peserta daripada 158 kontinjen, selain persembahan ‘human graphic’ yang melibatkan 2,500 peserta.

“Lintas hormat udara pesawat tempur Sukhoi dan C130-H Hercules, perarakan aset tentera, polis dan bomba serta penyertaan agensi kerajaan, swasta, NGO dan pelajar sekolah menambahkan lagi kemeriahan sambutan yang penuh warna-warni ini,” katanya.

Namun, kata Ab Rauf, perkara paling besar daripada sambutan tersebut bukan sekadar jumlah kehadiran yang mencecah 75,000 orang, sebaliknya semangat rakyat yang hadir bersama-sama sebagai satu keluarga Malaysia.

“Melihat ibu bapa membawa anak-anak, anak muda mengibarkan Jalur Gemilang dan seluruh lapisan masyarakat berdiri teguh di bawah satu bendera, hati saya benar-benar tersentuh.

“Inilah wajah Malaysia yang kita mahu, berbeza latar, bersatu hati, teguh berdiri sebagai satu bangsa merdeka,” katanya.

Dalam pada itu, Ab Rauf merakamkan penghargaan kepada seluruh rakyat Melaka dan rakyat Malaysia yang hadir memeriahkan sambutan tersebut.

Beliau berkata, sokongan serta kehadiran rakyat menjadi kekuatan dan inspirasi kepada beliau bersama pimpinan Kerajaan Negeri Melaka untuk terus melaksanakan tanggungjawab membangunkan negeri serta menjaga kebajikan rakyat.

“Terima kasih rakyat Melaka. Terima kasih seluruh rakyat Malaysia. Kehadiran tuan-tuan dan puan-puan adalah kekuatan, amanah dan inspirasi kepada saya serta pimpinan Kerajaan Negeri Melaka untuk terus bekerja keras membangunkan Melaka serta menjaga kebajikan rakyat.

“Inilah roh sebenar Melaka Sayang Rakyat,” katanya.

Ab Rauf turut menyeru agar semangat cintakan negara dan jiwa merdeka terus disuburkan dalam kalangan rakyat.

“Dari Melaka, kita semarakkan cintakan negara. Dari hati rakyat, kita suburkan semangat jiwa merdeka.

“Selamat Menyambut Hari Kebangsaan 2026,” katanya lagi. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO